Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
GEORGE TOWN – Sambutan Ulangtahun Persatuan Bola Keranjang Negeri Pulau Pinang atau Penang Basketball Association (PBA) Ke-82 buat julung kalinya dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Menteri di sini baru-baru ini.
Menurut Presiden PBA, Ooi Khoon Yeong, dalam tempoh 16 tahun menjawat jawatan tersebut, beliau amat tersentuh dengan inisiatif khas Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang sanggup hadir pada majlis berkenaan.
“Sejak saya menjadi Presiden PBA, ini adalah kali pertama kami (PBA) menerima kehadiran seorang Ketua Menteri,’’ katanya dalam ucapan beliau bersempena Majlis Makan Malam Ulangtahun PBA Ke-82 di sini baru-baru ini.
Sambutan ulangtahun tersebut diadakan bagi mengumpul dana dan mengeratkan hubungan sesama ahlinya. Malah, dua biji bola keranjang yang ditandatangani Ketua Menteri turut dibida. Bidaan pertama oleh Khoon Yeong berjumlah RM12,000 manakala bagi bidaan kedua pula mencecah RM16,000.
Pada masa sama, Penang Youth and Sports Development Committee turut menyampaikan sumbangan tajaan berjumlah RM20,000 dan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (RM5,000) kepada PBA.
Dalam pada itu, Guan Eng menyatakan bahawa sebagai salah sebuah negeri yang berhasrat untuk menjadi negeri yang bertaraf global, aktiviti berkaitan sukan dan kecerdasan amatlah penting dalam memastikan keseimbangan pembangunan insan.