Majoriti kes kemalangan di tapak pembinaan akibat gagal patuhi SOP, kata Exco

Admin

PERAI – Kebanyakan kes kemalangan di tapak-tapak pembinaan yang dilaporkan berlaku di negeri ini adalah berpunca daripada kegagalan pihak kontraktor atau syarikat pembinaan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, walaupun pemantauan ketat sering dijalankan oleh JKKP, namun sekiranya pihak pemaju gagal mematuhi garis panduan ditetapkan maka kemalangan di tapak pembinaan tetap akan berlaku.

Dr. Afif Bahadin melawat beberapa pameran berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerja selepas merasmikan seminar berkaitan.

 

 

 

 

 

 

“Pertama sekali kita perlu kenal pasti sama ia (kemalangan) adalah akibat runtuhan tanah atau kerana berlaku kegagalan di tapak pembinaan.

“Saya fikir kejadian tanah runtuh yang dilaporkan di Pulau Pinang hanya satu kes dan selebihnya adalah kerana kegagalan di tapak pembinaan.

“Oleh itu, sekiranya kontraktor dan syarikat pemaju mematuhi semua garis panduan dan undang-undang ditetapkan maka jumlah kes kemalangan di tapak pembinaan dapat dikurangkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Industri Pembinaan (OSHCIM) Zon Utara, di sini pagi ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah JKKP Malaysia, Ir. Zailee Dollah; Pengarah JKKP Pulau Pinang, Jaafar Leman; Pengarah JKKP Kedah, Hairozie Asri serta Pengarah JKKP Perlis, Amree Ghazi.

Difahamkan, seramai 270 peserta dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis menyertai seminar berkenaan yang bertujuan membuka peluang kepada semua pihak untuk berkongsi pendapat atau mengemukakan persoalan berkaitan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Sementara itu, Zailee berkata bahawa pihak JKKP kini dalam proses membuat pindaan terhadap akta sedia ada, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 bagi meningkatkan hukuman terhadap pesalah terlibat.

“Mungkin hukuman denda maksimum RM50,000 terhadap pesalah di bawah akta sedia ada pada masa ini dilihat masih rendah dan gagal menyampaikan mesej kepada pihak-pihak berkaitan,” jelasnya lagi.

Sebagai rekod, sehinga Jun tahun ini Pulau Pinang mencatatkan sebanyak sembilan kes kemalangan bagi sektor pembinaan yang mana lima daripadanya adalah melibatkan kemalangan maut yang mengorbankan 10 orang pekerja berdasarkan statistik dikeluarkan pihak JKKP.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS