Majoriti tidak setuju perkhidmatan gunting rambut asas dibenar beroperasi

Admin

SEBERANG JAYA – Keputusan Kerajaan Pusat untuk membenarkan perkhidmatan gunting rambut asas beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menimbulkan reaksi berbeza dalam kalangan masyarakat.

Tinjauan Buletin Mutiara di sekitar Seberang Perai mendapati kebanyakan individu tidak sependapat mengenai perkara itu dengan memberikan pandangan yang berbeza.

Walau bagaimanapun, rata-rata mereka yang ditemui menyatakan rasa tidak bersetuju terhadap keputusan tersebut kerana dikhuatiri bakal meningkatkan lagi penularan COVID-19 di negara ini.

Lily Zaikam,39, peniaga.

Bagi peniaga, Lily Zaikam, 38, berpendapat bahawa keputusan membenarkan perkhidmatan gunting asas bakal meningkatkan risiko jangkitan COVID-19.

“Perkhidmatan ini melibatkan sentuhan antara pelanggan dan tukang gunting dan ini sedah tentu akan meningkatkan risiko jangkitan.

“Tambahan pula, kebanyakan premis gunting rambut agak sempit dan sukar untuk setiap pelanggan mengekalkan jarak sosial satu meter,” katanya ketika ditemui di Jalan Lengkok Tenggiri, di sini pagi tadi.

K. Satieis 27, juruteknik.

K. Satieis Kumar, 27, seorang juruteknik pula berpandangan bahawa premis gunting rambut wajar dibuka kerana kebanyakan masyarakat sedang memerlukan perkhidmatan tersebut.

“Pada saya premis gunting rambut boleh buka tetapi perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan seperti daripada segi jarak, kebersihan premis dan para pekerja.

“Peralatan-peralatan yang digunakan semasa menggunting rambut pula perlu dibersihkan setiap kali selepas peniaga menerima pelanggan,” ujarnya.

Ang Kock Leong, 53, peniaga.

Sementara itu, Ang Kock Leong, 53, seorang peniaga menyatakan pandangan tidak bersetuju kerana berpendapat kerana perkhidmatan tersebut mendedahkan peniaga dan pelanggan kepada jangkitan COVID-19 dan berpotensi mewujudkan kluster baru.

“Saya tidak setuju dengan keputusan membenarkan kedai gunting rambut beriperasi semasa PKP kerana COVID-19 merebak dengan cepat melalui kontak rapat.

“Tukang gunting akan memberi perkhidmatan untuk ramai orang. Seorang tukang gunting mungkin mempunyai pelanggan sampai beratus orang.

“Kita tidak tahu adakah seseorang individu sihat atau telah dijangkiti. Jika salah seorang dijangkiti dan melalui kontak rapat dia akan menjangkiti pelanggannya yang lain maka terjadilah perebakan COVID-19.

“Saya berpendapat kalau boleh, pada waktu ini lebih baik kita gunting sendiri rambut kita di rumah. Saya sendiri juga gunting rambut di rumah menggunakan pencukur rambut,” ulasnya.

S. Thirumavukkarasu, 49, pekerja swasta.

Dalam pada itu, S. Thirumavukkarasu, 49, seorang pekerja swasta berkata bahawa lebih baik kerajaan tidak membenarkan perkhidmatan gunting rambut asas beroperasi buat masa ini.

“Lebih baik kedai gunting rambut ditutup pada masa ini demi keselamatan awam.

“Bukan mudah untuk mereka (pengusaha) untuk mematuhi jarak selamat kerana mereka perlu mengadakan kontak rapat dengan pelanggan.

“Malah, peralatan sama juga akan digunakan untuk pelanggan yang berlainan dan ini meningkatkan risiko jangkitan COVID-19. Jadi, lebih baik kerajaan ambil langkah selamat buat masa ini,” tegasnya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga memutuskan untuk tidak membenarkan perkhidmatan gunting rambut asas beroperasi sepanjang tempoh PKP.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar & Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS