Makan ikan mentah, minum air laut ikhtiar dua nelayan hanyut terus hidup

06e9febb aeaf 4865 a41c 8788981beb0f

BATU MAUNG – Setelah enam hari hanyut hingga ke perairan Aceh, Indonesia, dua nelayan dari Balik Pulau, Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22, dan Noor Hasrul Abdullah, 25, selamat tiba di Limbungan Kapal Batu Maung pagi tadi.

Ketibaan mereka dengan menaiki kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) disambut keluarga terdekat.

6c889501 dada 44be 981d 1b0369214d0e
Menurut Ikmal Hakimi, sepanjang berada di tengah laut mereka hanya menjamah baki makanan selain terpaksa memakan ikan mentah dan meminum air laut sebagai ikhtiar untuk terus hidup.

“Ini merupakan pengalaman pertama kejadian seumpama ini menimpa kami, dan semasa hanyut di laut kami menjamah ikan mentah yang ditangkap (cencaru dan kembung) untuk teruskan hidup.

“Selain itu kami cuma minum air laut cukup sekadar menghilangkan dahaga.

“Pengalaman ini memang rasa seperti mati hidup semula, kami bersyukur kerana selepas beberapa hari hanyut kami diselamatkan oleh nelayan Aceh,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui pagi tadi.

f147ad95 1e32 420f a15c b2828557f599

Kedua-dua mangsa yang dilaporkan hilang sejak 17 Disember lalu merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak berkuasa, keluarga, nelayan Aceh dan rakyat Malaysia dalam usaha menyelamat bersama-sama iringan doa.

Menceritakan lebih lanjut mengenai tragedi tersebut, Ikmal Hakimi memberitahu bahawa kejadian bermula apabila mereka melabuhkan pukat dan bertindih dengan pukat nelayan lain.

“Setelah cuba menarik semula pukat tersebut, ribut mula melanda dan laut bergelora.

“Kami cuba hidupkan enjin, malangnya tali enjin bot terputus dan cuba tarik secara manual tetapi tidak berjaya.

“Ada nelayan berikan sauh kepada kami namun disebabkan laut terlalu dalam, maka bot masih bergerak, masa itu kira-kira jam 8 ke 9 malam.

“Seingat kami, pada hari ketiga hanyut kami masih boleh nampak bukit di Teluk Bahang tetapi apabila masuk hari keempat daratan sudah tidak kelihatan lagi dan kami menyangka sedang berada di perairan Kedah.

“Masuk hari kelima barulah kami mulai nampak kapal-kapal kargo yang belayar sebelum diselamatkan oleh nelayan Aceh, itu pun lama juga kami panggil sebelum disedari mereka,” ujarnya yang kelitahan masih trauma.

Bercakap kepada Buletin Mutiara, Ikmal Hakimi berkata bahawa dia masih berminat untuk turun ke laut dan kejadian itu tidak sesekali akan mematahkan semangatnya untuk mencari rezeki sebagai nelayan.

Hadir sama, Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembagunan Koperasi, Fahmi Zainol; Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam dan Leftenan Komander APMM, Ahmad Shakur Jamaludin.

46777e4a 4469 4fbe 88e3 0884774b2fbe

Akibat memakan ikan mentah, Noor Hasrul berkata dia selaku tekong bot turut mengalami muntah-muntah.

“Pengalaman lain adalah saya dan Ikmal (Hakimi) ada juga bertengkar, mungkin akibat tekanan, kami terasa seperti kami akan mati.

“Antara langkah lain kami buat termasuk membuang pukat ke laut sebab kalau tidak bot akan lebih terumbang-ambing.

“Semasa misi pencarian telefon kami masih berfungsi dan nelayan pun ada cuba cari dengan cara memancarkan cahaya lampu tetapi kami tidak nampak apa-apa dan terus hanyut

“Apa yang lebih menyedihkan, kami ada meminta bantuan daripada kapal dagang, malah kami cuba berenang menghampiri kapal tersebut tetapi tidak menerima respons, mungkin mereka tidak menyedari kehadiran kami sehinggalah kami dibantu oleh nelayan Aceh,”maklum Noor Hasrul.

dbb6160a 4e66 483e 8375 1e6ee8317c36
Dalam pada itu, Sazalee ketika bercakap kepada pemberita menasihatkan nelayan agar memeriksa keadaan bot dan kelengkapan komunikasi agar sentiasa berada dalam keadaan baik sebelum turun ke laut.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan mereka dapat dihubungi sekiranya berlaku situasi tidak diingini.

Sementara itu, Ahad Shakur dalam reaksinya mengakui bahawa misi membawa balik dua nelayan tersebut berdepan cabaran tersendiri seperti keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, namun bersyukur kerana misi menyelamat berjaya dilaksanakan sebelum tiba di sini jam 3 pagi semalam.

Ibu kepada Noor Hasrul, Noor Azilah Jamaluddin, 44, dalam pada itu menzahirkan rasa syukur apabila anaknya berada dalam keadaan selamat.

“Terima kasih kepada semua pihak terlibat dalam misi mencari dan menyelamat anak saya.

“Kira-kira jam 9 malam semalam bila dapat tengok muka dia, saya tersenyum kerana berasa lega.

3c34cb51 597e 46fa a8f3 144402c52383

“Jika mengikut kata Noor Hasrul, dia masih hendak teruskan kerjaya ini tetapi saya nasihatkan dia supaya dapatkan ilmu dan pengalaman lebih lagi daripada orang yang berpengalaman agar tidak lagi berdepan situasi seperti ini,” maklum beliau.

Sementara itu, ayah kepada Ikmal Hakimi tidak mahu lagi anaknya itu meneruskan kerjaya sebagai nelayan.

“Seboleh-bolehnya saya tidak mahu lagi, sebab kami ini bukannya ‘orang laut’ (nelayan tidak ada pengalaman), saya akan bincangkan perkara ini dengan dia nanti.

“Tambahan pula, dia baru sangat-sangat dalam bidang ini,” katanya lagi.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT