Maklum balas awam terhadap RSNPP pernah dibuat selama dua bulan, Exco respons SAM

GEORGE TOWN – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, pameran untuk mendapatkan maklum balas awam terhadap Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang (RSNPP) telah dibuat selama dua bulan mulai September hingga November tahun lepas, walaupun secara perundangan menuntut tempoh selama 30 hari sahaja.

Respons itu sekaligus menjawab kenyataan Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), S.M. Mohamed Idris yang mendakwa Kerajaan Negeri hari ini dilihat terlalu tergesa-gesa untuk melaksanakan kerja penambakan laut menjadi tiga pulau buatan.

Walhal, kata Mohamed Idris lagi, RSNPP sedia ada masih belum dikemasikini dengan membawa masuk projek tambak laut di selatan pulau bagi membiayai Pelan Induk Pengangkutan (TMP).

“Kita (Kerajaan Negeri) telah membuat sesi maklum balas awam selama dua bulan, walaupun secara perundangan hanya perlu buat satu bulan (30 hari sahaja).

“Mana ada kita tak buat langsung sesi maklum balas awam,” jelasnya dalam sidang media di Dewan Bandaraya dekat Padang Kota Lama di sini pada 27 Februari 2019.

Difahamkan, draft RSNPP telah dipamerkan mulai 18 September hingga 19 November 2018.

Sepanjang tempoh dua bulan, sejumlah 537 bantahan diterima.

Sesi pendengaran awam mengenai RSNPP turut dibuat pada 13, 14, 15 dan 22 Februari 2019 dengan kehadiran 46 individu.

Itu, tidak termasuk seorang wakil Universiti Sains Malaysia (USM), seorang wakil Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan seorang wakil Jabatan Pertanian Negeri; tiga wakil pemaju dan satu lagi wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Think City Sdn. Bhd..

“Perbentangan seterusnya syor Jawatankuasa Bantahan kepada SPC (Jawatankuasa Perancang Negeri) pada 13 Mac 2019.

“(Maklum balas awam dibawa) ke Jawatankuasa Kerja MPFN (Majlis Perancang Fizikal Negara) pada 19 Mac 2019…untuk proses persetujuan MPFN pada bulan April 2019.

“Kita sasar RSNPP (yang baru dan dikemaskini ini) digazetkan pada bulan Jun 2019,” ujarnya.

Terdahulu, Mohamed Idris dalam sidang media berasingan dekat Pantai Jerejak pada awal pagi turut mencadangkan kepada pihak bertanggungjawab supaya membatalkan terus rancangan penambakan laut di Selatan Pulau.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN