GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) baru-baru ini mengumumkan penggunaan saluran aduan pengguna baharu, Citizen Action Technology (CAT) sebagai menambahbaik mutu perkhidmatan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan di sini.
Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif berkata, saluran aduan baru berkuatkuasa 4 April lalu divariasikan penggunaannya mengikut trend terkini bagi memudahkan orang awam membuat aduan terhadap mana-mana perkhidmatan di bawah bidang kuasa MPSP.
“Selain talian hotline dan toll free, orang ramai boleh membuat aduan menerusi e-mel, MPSP Watch (aduan melalui Facebook) atau laman sesawang rasmi MPSP yang mana pengadu boleh menyemak status aduan selepas berjaya menghantarnya secara talian.
“Kini, ada lagi satu sistem aplikasi terbaharu iaitu melalui aplikasi gajet mudah alih, CAT yang bukan sahaja mesra pengguna, malah pengguna boleh berinteraksi terus dengan PBT berwajib,” katanya pada sidang media bersama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Exco Kerja Raya, Utiliti (Air, Tenaga, Telekom) dan Pengangkutan (Udara, Laut, Keretapi), Lim Hock Seng dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.
Dalam pada itu, bagi Setiausaha Perbandaran MPPP, Ir. Ang Aing Thye, aplikasi tersebut bukan sahaja mesra pengguna, malah mudah yang mana seseorang pengadu hanya perlu tangkap gambar berkaitan dan ‘tag’ tempat berkenaan sebelum hantar aduan untuk tindakan lanjut.
“Melalui aplikasi ini, orang ramai boleh berhubung secara telus dan terus dengan PBT 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, 30 hari sebulan dan sepanjang tahun, MPPP atau MPSP akan respons dalam tempoh 48 jam bergantung kepada aduan dikemukakan” jelas beliau.
CAT, merupakan aplikasi atas talian pertama di Malaysia seumpamanya digunakan sepenuhnya oleh PBT untuk menerima aduan, maklum balas dan berinteraksi secara interaktif dengan orang ramai.
Didatangkan dalam dua pilihan bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, aplikasi CAT ditampilkan seakan-akan ‘Facebook’ dengan butang ‘Like‘ dan ruangan komen yang membolehkan pengguna memantau tindakan PBT.
Orang ramai yang ingin menggunakan aplikasi tersebut perlu memuatnaik aplikasi terbabit di gajet mudah alih masing-masing dengan kata kunci ‘citizen action technology’ atau ‘better penang‘ melalui Andriod ataupun Apple Stores.