Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
GEORGE TOWN – Bagi memantapkan Projek Cadangan Membina Laluan Basikal ‘Dedicated’ Persisiran Pantai, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bersama Kerajaan Negeri telah mengadakan satu pameran ‘Public Consultation’ bagi memberi peluang kepada orang ramai menyalurkan pandangan dan maklum balas terhadap projek tersebut baru-baru ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang hadir merasmikan majlis pembukaan berkata, bagi merealisasikan hasrat menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri berbasikal pertama di Malaysia, perancangan fasa satu ‘Coastal Cycling Route’ bermula dari Pusat Membeli-belah Quensbay hingga pusat bandar George Town telah dibuat.
Katanya, laluan basikal sepanjang kira-kira 12.5 kilometer (km) (Fasa 1) akan dibina dan dinaiktaraf MPPP, jabatan-jabatan kerajaan bersama dengan lima syarikat pemaju yang lain dengan kos belanja hampir RM30 juta dan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.
“Laluan basikal sepanjang 9.6 km tersebut akan dinaiktaraf oleh pemajupemaju swasta berkenaan dan jumlah hanya akan ditentukan melalui tender terbuka kelak.
“Manakala, baki sepanjang 2.9 km dan sebuah jambatan melintasi Sungai ‘Sungai Pinang’ akan dibiayai oleh MPPP sendiri,” ujarnya pada Majlis Perasmian Pembukaan ‘Public Consultation’ bagi Projek Cadangan Membina Laluan Basikal ‘Dedicated’ Persisir Pantai di Komtar baru-baru ini di sini.
Lima syarikat pemaju yang turut bersama MPPP membina dan menaiktaraf laluan basikal tersebut ialah IJM Land Berhad, Tropicana Ivory Sdn. Bhd., GSD Land (M) Sdn. Bhd., CP Landmark Sdn. Bhd. dan Asia Green Group.
Hadir sama, Yang Dipertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Maimunah Mohd. Sharif, Setiausaha Perbandaran MPSP, Rozali Mohamud dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin.
Dalam pada itu, tambah Guan Eng, MPPP dalam Bajet 2013 turut memperuntukkan RM5.3 juta sebagai bajet tahunan untuk projek-projek kemudahan basikal. Sebarang maklum balas atau cadangan boleh dihantar melalui “[email protected].