Malaysia kuat, unik sebab kepelbagaian etnik, kata Timbalan Menteri Perpaduan

Admin
568b9f0e c6b6 47cc 8542 429c4e454f4d K. Saraswathy menyampaikan ucapan perasmian Karnival Kepelbagaian Etnik dan Warisan Kita di ruang legar pasar raya mega Mydin Bukit Mertajam di sini pada 21 Disember 2024.

SEBERANG JAYA – Kepelbagaian kaum, agama, bahasa dan budaya akan terus menjadi sumber kekuatan Malaysia serta menjadikan negara ini unik di mata dunia.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator K. Saraswathy berkata, Kerajaan Perpaduan Malaysia yang diterajui Perdana Menteri Y.A.B. Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim akan terus mempromosi semangat ‘Perpaduan Dalam Kepelbagaian’ demi memperkukuh semangat muhibah dalam kalangan rakyat di negara ini.

“Di Malaysia, ‘Perpaduan Dalam Kepelbagaian’ menjadi teras penting kerana negara ini mempunyai masyarakat yang pelbagai.

“Perpaduan dalam kepelbagaian bukan hanya mengenai toleransi, tetapi juga mengenai pengiktirafan terhadap hak, kepercayaan dan tradisi setiap individu dan kumpulan.

“Sehubungan itu, percaya bahawa penganjuran Karnival Kepelbagaian Etnik dan Warisan Kita oleh Persatuan Siam Malaysia ini akan mempromosi semangat ‘Perpaduan Dalam Kepelbagaian’ dan menjadikan tapak integrasi kepada masyarakat yang berbilang kaum di negeri Pulau Pinang,” jelasnya dalam majlis berkaitan di ruang legar pasar raya mega Mydin Bukit Mertajam di sini pada 21 Disember 2024.

2d66d386 c6ec 43e7 aaf8 e3a04e20f13a
SEKALIAN peserta Karnival Kepelbagaian Etnik dan Warisan Kita turut merakamkan gambar kenang-kenangan di sini pada petang ini.

Di samping itu, beliau memberitahu bahawa Kementerian Perpaduan Negara ketika ini telahpun membentuk visi dan kerangka Dasar Reformasi dan Dasar Perpaduan Negara berdasarkan gagasan Membangunkan Malaysia Madani.

“Di bawah Kerangka Perpaduan Membangun Malaysia MADANI, Kementerian Perpaduan Negara juga telah perkenalkan Kembara Perpaduan Malaysia MADANI sebagai program ‘flagship’ yang memayungi tiga kluster aktiviti iaitu Semarak Kenegaraan, Semarak Perpaduan dan Komuniti Rahmah.

“Kembara Perpaduan Malaysia MADANI ini berpaksikan pada pencapaian objektif Dasar Perpaduan Negara melalui penglibatan dan kerjasama semua pihak termasuklah pemimpin, agensi Kerajaan, pihak swasta, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Organisasi Masyarakat Sivil (CSO) dan masyarakat keseluruhannya,” katanya.

Turut berucap, Pengarah Perpaduan dan Integrasi Nasional Negeri Pulau Pinang, Rohai Zahar Nedi.

Pengerusi Majlis Perundingan Muhibah Negeri Pulau Pinang merangkap Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Mohd. Yussof Latiff; Penasihat Persatuan Siam Malaysia, Aknaan Ehtook; dan Presiden Persatuan Siam Malaysia, Sam Maark a/l Verak antara yang hadir pada majlis tersebut.

bb2b7953 63de 48ff bb5b 423da36a6d7a
ANTARA persembahan pentas yang menarik sempena berlangsungnya karnival di sini tadi.
f3555bfa 67d8 4f4f 870e 073ecc52941e
RUMAH Melayu antara gerai pameran yang dibuka sempena penganjuran karnival di sini pada petang tadi.

Pameran rumah etnik, pertandingan mewarna, tarian etnik dan menora, gendang warisan serta demonstrasi gubahan krathong, buah dan jambangan bunga antara acara menarik dalam karnival yang berlangsung pada hari ini dan esok.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT