SEBERANG JAYA – Bagi mencapai taraf negara maju, kebergantungan kepada import makanan perlu dikurangkan sebaliknya Malaysia perlu memajukan industri pertanian negara, ujar Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.
Menjadikan negara Belanda sebagai contoh terbaik, Afif berkata status negara maju boleh diukur apabila negara tersebut mampu menyediakan (menghasilkan) makanan yang cukup kepada rakyatnya sendiri.
“Walaupun Belanda bersaiz lebih kecil dari Malaysia, namun mereka muncul sebagai negara yang menghasilkan produk pertanian kedua terbesar di dunia, bahkan ada syarikat dari sana menjadi pengeluar biji benih keenam terbesar di dunia.
“Jika dilihat kepada pengeluaran padi negara, kita di Malaysia dengan penduduk seramai 32 juta orang, tahap sara diri (SSL) untuk beras cuma mampu memenuhi kira-kira 70 peratus kegunaan sahaja berbanding Indonesia di mana SSL negara tersebut untuk beras (94 peratus).
“Jadi ini yang patut diberikan penekanan iaitu memodenkan sektor pertanian negara… supaya ia mampu memenuhi keperluan dalam negara terlebih dahulu,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Kempen Kawalan Perosak dan Penyakit Tanaman Padi Peringkat Negeri Pulau Pinang 2019 dekat Permatang Nibong pagi tadi.
Hadir sama, Pengarah Pertanian Negeri, Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang, Mohd. Muhaimin Ibrahim; Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Pulau Pinang, Nor Mazirah Teh serta rombongan khas dari Jerantut, Pahang.
Mengulas mengenai kerosakan tanaman akibat serangan penyakit dan makhluk perosak, Afif memberitahu bahawa tahun lepas sebanyak 1,279 hektar tanah pertanian terlibat.
“Dalam usaha menangani perkara ini pihak jabatan ada bagi bantuan secara teknikal, pada masa sama golongan petani juga harus memberikan kerjasama bagi mengurangkan kesan dengan melakukan kawalan sendiri,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.
Serentak majlis yang berlangsung, Afif turut menyampaikan sumbangan insentif petak model pengurusan sebanyak RM716,000 kepada koperasi-koperasi pertanian di daerah Seberang Perai Tengah.
Pada majlis yang sama, Afif dalam ucapannya turut menyasarkan pengeluaran padi sehektar tahun ini akan mencecah enam tan.
“Walau bagaimanapun, saya faham tentang cabaran-cabaran yang dihadapi oleh pesawah di negeri ini bagi mencapai sasaran tersebut tetapi itu tidak boleh dijadikan sebagai alasan bahkan perlu dijadikan satu motivasi untuk meningkatkan kadar pengeluaran padi di Pulau Pinang,” ujarnya lanjut.
Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI