BAGAN JERMAL – Melalui program #Malaysiakerja, Kerajaan Persekutuan mulai Jun 2020 akan menyediakan 350,000 peluang kerja sementara untuk warganegara menganggur terutama golongan muda dan graduan universiti.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata skim kerja sementara itu akan dilaksanakan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP) dengan pembiayaan awam oleh Kerajaan Persekutuan sendiri bagi tempoh lima tahun menelan peruntukan kira-kira RM6.5 bilion.
“Saya masih ingat semasa saya menjadi Ketua Menteri (Pulau Pinang), ada kerani di pejabat saya merupakan graduan universiti dengan kepujian, kenapa…kerana tak dapat pekerjaan selepas graduan.
“Di sini, kita dapat lihat ada peluang pekerjaan tertentu tapi graduan universiti tidak mahu bekerja dengan kadar (upah buruh) sama seperti pekerja asing.
“Kerajaan (Persekutuan) faham hakikat ini dan oleh itu kita menyediakan peluang pekerjaan,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan.
Guan Eng berkata demikian ketika berucap pada Majlis Khatan 62 Pelajar anjuran bersama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bagan dan pentadbiran Sekolah Kebangsaan Bagan Jermal di sini, sebentar tadi..
Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu; Ahli-Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Khong Chee Seong dan Tan Chee Teong serta Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bagan Jermal, Zainal Ahmad.
Jelas Guan Eng, Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan insentif tambahan dalam bentuk gaji sebanyak RM500 setiap bulan selama dua tahun kepada mereka yang menyertai program #MalaysiaKerja.
Tambahnya, jumlah tersebut tidak termasuk RM300 insentif yang diberikan kepada majikan untuk mendorong mereka mengambil warganegara sebagai tenaga buruh separa mahir melalui program ini.
“Untuk pengambil pekerja-pekerja Malaysia, kita (Kerajaan Persekutuan) akan memberikan insentif RM300 sebulan…sebagai galakan kepada majikan supaya ambil pekerja tempatan.
“Bermakna kalau kita campur (membawa jumlah) RM800 sebulan (kepada mereka yang menyertai program #MalaysiaKerja,” jelasnya.
Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB