Mamu Georgetown angkat keunikan budaya dan warisan Pulau Pinang, diterajui lebih 40 pempengaruh popular

Admin
whatsapp image 2025 03 26 at 18.00.38 (1)

GEORGE TOWN – Filem Mamu Georgetown yang mengangkat keunikan warisan serta keindahan negeri Pulau Pinang bakal memulakan penggambaran pada 7 Mei ini.

Filem pertama arahan anak tempatan, Zulkifli Abu Hassan itu bakal diterajui oleh lebih 40 pempengaruh terkenal yang akan membawa penonton untuk menyelami keindahan seni, warisan dan budaya Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap agar filem tersebut mampu menonjolkan budaya dan warisan Pulau Pinang untuk pendedahan kepada generasi yang lebih muda.

whatsapp image 2025 03 26 at 18.00.37 (2)
Ketua Menteri menurunkan tandatangan sebagai simbolik pelancaran mula penggambaran filem Mamu Georgetown.

“Saya pasti ramai yang berumur 30 tahun ke atas membesar dengan filem-filem karya Dato’ Profesor Dr. A. Razak Mohaideen seperti Anak Mami, Mami Jarum dan sebagainya dengan berlatarbelakangkan bangunan serta budaya negeri ini.

“Setelah sekian lama filem itu dipopularkan, kini tiba masanya untuk sebuah lagi filem yang menonjolkan budaya dan warisan Pulau Pinang untuk diterbitkan.

“Menariknya, filem ini akan melibatkan 30 lokasi penggambaran di sekitar Pulau Pinang yang akan memberi gambaran lebih mendalam mengenai keindahan alam semula jadi serta warisan sejarah di Pulau Pinang.

“Langkah menampilkan 40 pempengaruh terkenal juga sesuatu yang menarik kerana secara tidak langsung dapat menarik perhatian generasi muda yang aktif di platform digital,” katanya ketika berucap pada sidang media pelancaran mula penggambaran Filem “Mamu Georgetown” dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Digital, Wong Hong Wai serta pelakon-pelakon utama filem Mamu Georgetown.

Kon Yeow berkata, filem tersebut juga mampu membawa lebih banyak tarikan kepada Pulau Pinang termasuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri mesra penggambaran filem.

“Langkah ini akan membuka lebih banyak peluang kepada produksi filem, drama dan dokumentari dari dalam dan luar negara untuk menjalankan penggambaran di Pulau Pinang.

“Selain itu, penghasilan filem ini juga mampu menyemai penghargaan warga negeri dalam menerima identiti kita, mendidik generasi muda dan memastikan legasi Pulau Pinang terus berkembang.

whatsapp image 2025 03 26 at 18.00.38whatsapp image 2025 03 26 at 18.00.39 (1)

“Adalah menjadi tanggungiawab kita bersama untuk melindungi warisan ini melalui pelbagai cara termasuk melalui penghasilan filem yang berkualiti.

“Dengan berbuat demikian, kita bukan sahaja menghormati warisan peninggalan nenek moyang terdahulu tetapi juga membentuk masa depan yang mana tradisi unik kita kekal menjadi sumber kebanggaan serta inspirasi bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli yang juga Pengarah Urusan Stylo Signature (M) Sdn. Bhd. memberitahu bahawa filem yang mengetengahkan naratif lawak jenaka, cinta, pengorbanan serta teladan itu akan ditayangkan di pawagam pada tahun ini juga.

“Filem ini akan menonjolkan salasilah gelaran ‘mamu’ dan membawa penonton untuk mengenali lebih rapat dengan watak ‘mamu’ di Pulau Pinang ini.

“Kami optimis filem ini mampu mencapai kutipan yang baik antara RM30 juta hingga RM60 juta,” katanya sambil menambah bahawa penghasilan filem tersebut menelan kos sekitar RM970,000.

Antara pempengaruh yang akan membintangi filem Mamu Georgetown termasuklah ShahrilWokay2, Diva BB, Jumie TV, Mamu Tabu, Anak Cina_Cemey, Eira Azieraa dan ramai lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar & Video : ALISSALA THIAN