GEORGE TOWN – Sesi penggambaran Mamu Georgetown yang bermula pada 7 April hingga 15 Mei diharap mendapat sokongan daripada Kerajaan Negeri hari ini.
Ini adalah memandangkan filem bertema komedi kekeluargaan tersebut akan berusaha mempromosi sektor pelancongan, budaya dan keharmonian rakyat di Pulau Pinang.
Demikian penjelasan wakil produksi filem dan juga Pengasas Helmy Sam Photography dan One Click Hub, Muhamed Helmy bin Samsudeen dalam kunjungan hormat Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di pejabatnya, Komtar pada 14 Mac 2025.
Sutradara, Zulkifli Abu Hassan memberitahu bahawa filem tersebut mungkin pertama di Malaysia dengan melibatkan lebih 30 pempengaruh (influencer) yang mana masing-masing mempunyai lebih sejuta pengikut di platform media sosial TikTok.
Dalam reaksi spontan, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyambut baik usaha syarikat produksi berkaitan dalam membikin filem Mamu Georgetown bagi mempromosi tempat-tempat pelancongan menarik di Pulau Pinang serta sekali gus menjana kemakmuran ekonomi warga negeri.
“Kita (Pihak Berkuasa Negeri) akan buat perbincangan dalaman dan lihat bahagian mana kita boleh bantu,” respons beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Penerbit, Mohamed Radzi Abdul Jabar; Penolong Pengarah filem, Mohammad Firman Mohammad Fariq dan kru, Muhamed Rizky Ahmad Johan turut sertai kunjungan hormat di pejabat Ketua Menteri tadi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD