Manfaatkan 30 lembangan sungai negeri, Ketua Menteri sambut baik syor NAHRIM

Nasehir E.M. Yahaya (kiri) membentangkan pelan solusi bagi menangani isu air mentah negeri pada masa hadapan, semasa kunjungan hormat bertemu Ketua Menteri (kanan) di Komtar pada lewat petang tadi.

GEORGE TOWN – Kira-kira 30 lembangan sungai sedia ada dalam sempadan negeri ini wajar dimanfaatkan sebagai sumber air mentah baharu pada masa hadapan, kata Pengarah Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) semasa kunjungan hormat beliau terhadap Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow sebentar tadi.

Selepas perbincangan hampir 50 minit berkaitan, Kon Yeow memberitahu Buletin Mutiara bahawa pentadbirannya menyambut baik syor itu untuk dipertimbangkan memandangkan ketika ini cadangan pelaksanaan Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) masih tidak mendapat persetujuan daripada Kerajaan Negeri Perak.

Di samping itu, beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa cadangan NAHRIM itu sekali gus mengurangkan kebergantungan kira-kira 80 peratus sumber air mentah yang diabstrak dari Sungai Muda dalam sempadan negeri Pulau Pinang selama ini.

“Cadangan bagaimana kita (Pulau Pinang) kurangkan kebergantungan negeri pada satu-satu sumber air mentah sahaja iaitu Sungai Muda atau pada masa akan datang iaitu Sungai Perak, memandangkan kita (Pulau Pinang) masih ada banyak sungai.

“Walaupun (sungai-sungai ini) bukan sungai yang besar berbanding dengan Sungai Muda, tetapi sungai-sungai yang ada di negeri Pulau Pinang ini boleh diteroka untuk menjadi sumber air mentah.

“Sebabnya, kita (Pulau Pinang) ada kira-kira 30 lembangan sungai di bahagian pulau dan Seberang Perai, panjang (keseluruhan) semua sungai ini adalah 501 kilometer (km).

“Jadi, sungai-sungai ini boleh membekalkan 6,546 juta liter sehari (MLD) sedangkan jumlah air mentah yang kita perlu 1,400 MLD, maka ia melebihi apa yang kita perlu dalam keadaan kita ketika ini terlalu bergantung kepada (sumber air mentah) dari sungai muda,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimn Tanjong.

Sebelum pada itu, Pengarah NAHRIM, Dato’ Prof. Dr. Ir. Nasehir E.M. Yahaya turut membentangkan syor pihaknya supaya dibina sistem pengasingan mendapan air berhampiran Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua serta loji-loji yang lain di negeri ini.

Menurut beliau, syor itu dapat mengurangkan risiko kekeruhan air pada kadar teruk seperti semasa bencana banjir di Baling, Kedah pada awal bulan Julai lepas yang memaksa operasi LRA Sungai Dua dihentikan serta-merta dan mengakibatkan gangguan bekalan air terjadi di beberapa kawasan di Pulau Pinang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD