Manfaatkan penganjuran bazar Ramadan sebagai produk pelancongan Pulau Pinang

Admin
whatsapp image 2025 03 03 at 13.01.37

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyambut baik cadangan Liga Muslim Pulau Pinang untuk menjadikan penganjuran bazar Ramadan sebagai salah satu produk pelancongan negeri.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa terdapat puluhan bazar Ramadan di Pulau Pinang yang boleh dimanfaatkan sebagai produk pelancongan bagi menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negeri.

“Cadangan ini adalah daripada Liga Muslim (Pulau Pinang) untuk melonjakkan bazar Ramadan Lebuh Queen satu peringkat lain, tetapi kita (Kerajaan Negeri) melihat kawasan itu terlalu kecil.

“Jadi, kita merancang untuk melibatkan lebih banyak bazar Ramadan di beberapa lokasi lain yang sesuai untuk dijenamakan semula serta dipakej sebagai satu produk pelancongan dan memasukkannya ke dalam kalendar pelancongan negeri.

“Pulau Pinang mempunyai asas kukuh dalam penganjuran bazar Ramadan yang sepatutnya dimanfaatkan sebagai satu produk pelancongan boleh diketengahkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis pembukaan Pejabat Phoenix Asia, Metaverse Universal Collage (MVUC) dan Boya Institute Penang dekat Pulau Tikus di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng dan Pengasas merangkap Presiden Phoenix Asia Academy of Technology dan MVUC, Prof. Dr. Kenneth Quah.

Semalam, Buletin Mutiara melaporkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan berusaha memasukkan penganjuran bazar Ramadan terpilih dalam kalendar pelancongan negeri bagi tahun 2026.

Ia susulan daripada cadangan Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Dato’ Seri Haja Najmudeen Kader supaya menjenamakan Bazar Ramadan Lebuh Queen yang dianjurkan sejak 22 tahun lepas sebagai Fiesta Ramadan atau Festival Makanan Ramadan dalam usaha merancakkan lagi aktiviti ekonomi penduduk lokal serta menggamit ramai pelancong asing.

Sehubungan itu, beliau turut mencadangkan supaya pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil langkah permulaan dengan memasukkan penganjuran Bazar Ramadan Lebuh Queen atau Fiesta Ramadan di sini dalam kalendar acara pelancongan negeri pada tahun depan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
Video : DARWINA MOHD. DAUD