PERMATANG PASIR – Pengundi-pengundi di Pulau Pinang diseru supaya memanfaatkan pilihan raya negeri (PRN) kali ini untuk memilih Kerajaan Negeri yang selari dengan kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, perkara tersebut penting untuk memastikan pelaksanaan beberapa projek infrastruktur utama yang dirancang sejak sekian lama dapat berjalan dengan lancar.
“Kita ada banyak projek hendak dilaksanakan yang memerlukan bantuan daripada kerajaan Persekutuan termasuk (projek) penyuraian trafik di Seberang Jaya, projek tebatan banjir serta projek bekalan sumber air mentah Perak – Pulau Pinang.
“Oleh itu, menjadi tanggungjawab saya pada penggal ini untuk memastikan projek-projek dapat dimulakan supaya kita boleh meletakkan Pulau Pinang di landasan yang betul dan terus maju ke hadapan,” katanya semasa berucap pada program minum petang bersama calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil dekat Samagagah, di sini.
Turut serta, calon bagi DUN Machang Bubok, Lee Khai Loon serta barisan jentera PH dan Barisan Nasional (BN).
Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata bahawa bagi memastikan perkara itu berlaku, PH dan BN perlu memenangi sekurang-kurang 30 hingga 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Ini termasuklah kemenangan penting di DUN Permatang Pasir.
“Pada pilihan raya umum yang lepas, kita telah kehilangan kerusi Parlimen Permatang Pauh, oleh itu pengundi-pengundi di DUN Permatang Pasir perlu memilih calon Pakatan Harapan (PH) supaya kita kekal memenangi kerusi ini,” serunya.
Pada program tersebut, Kon Yeow turut mengambil peluang beramah mesra dengan jentera dan pengundi sebelum meneruskan kempen dengan melakukan jerayawara ke Pasar Malam Penanti dan menamatkan kempen di DUN Permatang Pasir dengan majlis jamuan makan malam dekat Gudang Makan, Jalan Permatang Nibong.