Mangsa banjir Pulau Pinang terima bantuan tunai RM1,500

Admin
photo 2024 09 24 12 49 14 (2)

SUNGAI DUA – Seramai 202 ketua isi rumah yang terjejas dengan kejadian banjir di Pulau Pinang menerima bantuan tunai RM1,500 hari ini.

Sumbangan disampaikan oleh Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin dekat Dewan Besar Sungai Dua, pagi tadi.

photo 2024 09 24 12 49 15

Menurut Shamsul Iskandar, RM1,000 adalah pemberian Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) manakala sumbangan Perdana Menteri sebanyak RM500.

“Seperti yang diumumkan tadi, kita menyediakan atau berikan sumbangan daripada Perdana Menteri, sumbangan khas sebanyak RM500 kepada seramai 202 keluarga yang berdaftar di Pusat Pemindahan Sementara.

“Kemudiannya disusuli dengan sumbangan sebanyak RM1,000 lagi daripada NADMA yang menjadikan jumlah keseluruhan bantuan bencana banjir yang diterima oleh ketua isi rumah adalah bernilai RM1,500.

“Ini menunjukkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan sangat prihatin dan terkesan dengan keadaan mereka yang diuji musibah banjir ini

“Mudah-mudahan dengan peruntukan ini dapat membantu meringankan beban mereka untuk memperbaiki apa yang rosak selepas kejadian banjir ini,” ujar Shamsul Iskandar dalam satu sidang media seusai majlis berlangsung.

photo 2024 09 24 12 49 14

Hadir sama, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Dato’ Kamarul Haizal Koderat; Pegawai Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Rosmin Yaakob dan Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Khairulnizam Hashim.

Shamsul Iskandar dalam pada itu, turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pulau Pinang; Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia; Polis Di Raja Malaysia (PDRM); Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi-agensi  terlibat yang bertungkus-lumus membantu mangsa-mangsa banjir baru-baru ini.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : BERNAMA