Mangsa kebakaran dapat perhatian PPK

Admin

TELUK BAHANG – Nasib tujuh sekeluarga di Mukim 2 Kampung India di sini yang kehilangan rumah serta harta benda akibat kejadian kebakaran mendapat perhatian Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Teluk Bahang, Datuk Abdul Halim Hussain baru-baru ini.

Selain sumbangan peribadi, mangsa yang dikenali sebagai S. Thanabalan turut menerima RM1,000 bantuan bencana dan sumbangan peribadi Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) , A . Kumaresan.

Mengulas lanjut mengenai kejadian kira-kira pada jam 1.30 pagi, Thanabalan menyatakan bahawa ketika kejadian, beliau bersama tiga anak dan ibu bapanya sedang nyenyak tidur.

“Kami sedang tidur dan dikejutkan jiran-jiran apabila api mula marak membakar bahagian dapur rumah berkenaan.

“Saya sendiri tidak menyangka nasib malang yang menimpa keluarga, namun bersyukur kerana sempat menyelamatkan dua orang tua saya yang uzur serta beberapa dokumen penting,” katanya di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Abdul Halim menasihatkan supaya penduduk terutamanya yang mendiami rumahrumah kayu supaya lebih berhatihati kerana kebakaran mudah berlaku ketika musim panas dan kering.