Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
JAWI – Bantuan segera daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee sedikit-sebanyak meringankan beban lima keluarga yang menjadi mangsa ribut petir di Kampung Kebun Baru, Nibong Tebal dekat sini baru-baru ini.
Lip Chee berkata, semua mangsa bencana masing-masing menerima bantuan kewangan melalui Tabung Bencana TYT (Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri) sebanyak RM2,200.
Selain itu, beliau turut berbesar hati memberi bantuan segera dengan melantik kontraktor binaan bagi membaiki struktur bumbung yang rosak teruk.
“Kejadian seumpama ini jarang berlaku, namun, saya tetap bersedia dengan pasukan bantuan yang terdiri daripada JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti) bagi menghadapinya,” katanya ketika mengadakan lawatan ke kediaman mangsa-mangsa ribut petir di sini.
Turut sama, wakil JKKK Kebun Baru. Dalam kejadian pada 5 Oktober lalu, lima kediaman di Kampung Kebun Baru mengalami kerosakan teruk apabila akibat kejadian ribut petir.