Oleh: MOHD. HAFIZ TAJUDIN
PINANG TUNGGAL – Bagi meringankan beban yang menimpa mangsa ribut Pinang Tunggal, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman turut tampil menyampaikan sumbangan.
Beliau yang melahirkan rasa simpati di atas kejadian menimpa penduduk di kawasan tersebut bagaimanapun berasa bangga dengan kesatuan yang ditunjukkan penduduk setempat ekoran masih mengekalkan budaya tolong-menolong jiran ditimpa bencana.
“Terima kasih kepada jiran-jiran yang menolong saudara kita (yang ditimpa bencana). Inilah kekuatan masyarakat kita yang mesti kita kekalkan,” kata beliau pada Majlis Penyampaian Sumbangan Mangsa Ribut Pinang Tunggal di Masjid Jamek Al-Hidayah, Kampung Lahar Tiang di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Pegawai Kebajikan Masyarakat Seberang Perai Utara (SPU), Mohd. Rahim Mohd. Alif, Ketua Penolong Pegawai Daerah SPU (Pembangunan), Hakmal Effendi Ishak, Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Pinang Tunggal, Muhasdey Muhamad dan PPK Penaga, Rosidi Hussain.