Mansuh subsidi, rakyat makin resah dengan kenaikan harga barang

Admin

SEBERANG JAYA – Langkah Kerajaan Persekutuan untuk tidak meneruskan lagi kawalan harga siling ayam, telur ayam serta subsidi minyak masak botol mulai 1 Julai ini ternyata meresahkan banyak pihak.

Rata-rata mereka yang ditemui Buletin Mutiara hari ini melahirkan rasa bimbang terhadap kenaikan harga barangan secara tidak terkawal selepas 1 Julai, susulan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri baru-baru ini.

Salim Yaacob.

SALIM YAACOB, 55, berkata pemansuhan subsidi minyak masak botol bagi isipadu dua, tiga dan lima kilogram pasti menjejaskan perniagaan roti canai yang diusahakannya sejak sekian lama.

Beliau berkata, walaupun subsidi bagi minyak masak paket diteruskan, namun bekalan bahan utama dalam penghasilan roti canai itu kini sukar untuk didapati di pasaran selain boleh dibeli dalam kuantiti yang sangat terhad.

“Sebenarnya bukan sahaja minyak masak tetapi harga bagi bahan asas lain seperti tepung gandum, kacang dal, telur ayam juga semakin meningkat sekarang ini.

“Sebagai peniaga, kami tidak ada banyak pilihan selain menaikkan harga jualan atau terpaksa mengurangkan kuantiti bagi mengelakkan kerugian.. kami juga sedang terhimpit sekarang ini.

“Sebagai contoh, roti canai kosong sekarang dijual pada harga RM1.20 sekeping tetapi selepas ini mungkin terpaksa dinaikkan kepada RM2.00 (sekeping),” katanya ketika ditemui dekat Pasar Awam Seberang Jaya, di sini pagi tadi.

Rohida Ismail.

Bagi ROHIDA ISMAIL, 54, pemansuhan subsidi kepada penternak ayam dan minyak masak botol pastinya membebankan rakyat terbanyak kerana harga barangan tersebut juga akan melonjak di pasaran.

“Saya berpendapat kerajaan (Pusat) tidak wajar memansuhkan subsidi bahan makanan terutamanya ketika keadaan ekonomi semakin meruncing dan pendapatan rakyat tidak meningkat.

“Memang betul kerajaan ada beri bantuan kewangan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) tetapi jika dibandingkan dengan kenaikan harga barangan ketika ini, jumlah itu tidak mencukupi.

“Keadaan lebih parah lagi bagi keluarga yang berpendapatan RM4,000 seperti kami kerana walaupun berada dalam kategori B40 tetapi kami masih tidak layak untuk menerima bantuan kewangan daripada kerajaan.

“Sekiranya kerajaan sudah memutuskan untuk mansuhkan subsidi, maka mereka perlu memikirkan kaedah yang sesuai untuk memastikan rakyat tidak terlalu terbeban terutamanya bagi keluarga berpendapatan sederhana rendah (M40) yang tidak menerima bantuan daripada kerajaan.

“Jika tidak, kami yang tidak menerima bantuan daripada kerajaan akan terus terhimpit,” ujarnya sambil menambah bahawa keuarganya antara yang tidak pernah menerima apa-apa bantuan kewangan daripada kerajaan setakat ini.

S. Janaki.

Pendapat sama turut disuarakan oleh S, JANAKI, 35, yang menyatakan bahawa perubahan drastik bagi harga minyak masak (botol) dan ayam segar pasti akan membebankan rakyat terbanyak terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah.

“Minyak masak dan ayam merupakan bahan penyediaan masakan yang penting bagi kebanyakan rakyat di negara ini.

“Sudah pasti dengan pemansuhan subsidi nanti harga minyak minyak masak dan makanan lain juga akan turut meningkat.

“Jadi, saya berharap agar sekiranya subsidi minyak masak botol dimansuhkan, Kerajaan Persekutuan perlu memastikan bekalan minyak masak paket tidak berkurangan di pasaran,” tegasnya.

Sementara itu, keadaan berbeza pula bagi penjual ayam segar yang mana rata-rata daripada mereka mahu Kerajaan Pusat segera melaksanakan pengapungan harga (ayam) memandangkan harga siling yang ditetapkan kini merugikan peniaga.

Abdul Tolib Mansor.

ABDUL TOLIB MANSOR, 63, harga ayam RM8.90 yang ditetapkan kerajaan membuatkan peniaga ayam berdepan kerugian ketika ini.

“Sekiranya kerajaan mahu laksanakan harga kawalan bagi ayam segar, mereka sepatutnya lakukan perkara itu di peringkat peladang.

“Apabila kerajaan mansuhkan subsidi makanan ayam, susah tentu peladang akan menaikkan harga dan kami sebagai peniaga menentukan harga ayam berdasarkan harga pasaran dengan mengambil kira kos-kos lain seperti minyak, pembungkusan dan gaji pekerja.

“Sekiranya kerajaan mahu teruskan dengan harga siling RM8.90 ketika ini… kami peniaga mahu dapat untung dari mana?” soalnya lagi.

Justeru, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan semula harga baru bagi ayam segar di pasaran iaitu sekitar RM11.50 hingga RM12 bagi membolehkan peniaga mendapat sedikit keuntungan.

“Pada masa sama, kita minta Kerajaan Persekutuan agar tidak memansuhkan subsidi kepada penternak ayam kerana langkah itu akan meningkatkan lagi harga ayam segar di pasaran.

“Selain itu, kerajaan juga perlu mengawal harga makanan ayam yang dilihat meningkat dengan sangat ketara ketika ini… keadaan ini membebankan penternak,” ujarnya yang telah berkecimpung dalam perniagaan sejak 30 tahun lalu.

Roslan Ismail.

Dalam pada itu, ROSLI ISMAIL, 42, berkata bahawa terdapat sesetengah peniaga terpaksa mengenakan caj pemotongan ayam sehingga RM1 bagi mengelakkan kerugian.

“Walaupun kerajaan tetapkan harga RM8.90 tetapi ada peniaga terpaksa jual pada harga RM11 selepas ditambah dengan caj pemotongan ayam.

“Masalahnya adalah harga yang ditetapkan kerajaan ketika ini sangat merugikan peniaga kerana harga jualan ayam dari ladang telah meningkat berikutan peningkatan harga dedak ayam sejak beberapa bulan lalu.

“Jadi, kita minta kerajaan (Pusat) percepatkan pengapungan harga ayam segar di pasaran supaya peniaga kecil seperti kami boleh bernafas semula,” katanya.

Ditanya mengenai pemansuhan subsidi minyak masak botol bermula 1 Julai ini, Rosli berkata bahawa langkah tersebut pasti memberikan kesan berantai kepada kenaikan harga makanan yang lain.

“Setiap kenaikan harga bahan makanan akan memberi kesan kepada makanan yang lain dan keadaan ini pasti membuatkan rakyat lebih terbeban.

“Cuma kita harap sangat kerajaan tidak mansuhkan subsidi bagi diesel dan minyak petrol RON95.. jika tidak inflasi pasti semakin melonjak dan rakyat akan terus tertekan,” katanya yang menjangkakan berlaku kenaikan harga bahan makanan selepas 1 Julai nanti.

Terdahulu, Perdana Menteri berkata berkuat kuasa 1 Julai ini, Putrajaya tidak akan lagi memberikan subsidi kepada penternak ayam.

Malah, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut berkata bahawa berkata subsidi minyak masak botol dua hingga lima kilogram dimansuhkan juga bermula 1 Julai ini.

Menteri berkenaa menjelaskan bahawa keputusan itu menyebabkan harga minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram akan mengalami kenaikan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS