Mantan Exco selesai jalani MRI

whatsapp image 2024 08 05 at 14.22.34 (1)

MENJELANG tengah hari tadi, melalui panggilan telefon secara eksklusif, mantan Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Dato’ Seri Phee Boon Poh memaklumkan bahawa keadaan beliau stabil dan masih menerima rawatan di Unit Penjagaan Koronari (CCU).

 

Syukur, saya berada dalam keadaan baik dan masih di wad serta memerlukan rehat yang secukupnya.

 

“Terima kasih kepada yang bertanyakan khabar dan mendoakan kesihatan saya (kembali pulih),” ujarnya.

 

Menurut Boon Poh, beliau baharu sahaja selesai menjalani imbasan MRI (Magnetic Resonance Imaging) jantung pada pagi ini.

 

“Doktor mencadangkan untuk memasang perentak jantung sekiranya keputusan MRI tidak menunjukkan apa-apa masalah.

 

“(Dan) kalau ada apa-apa (masalah) doktor akan mencadangkan rawatan selanjutnya,” jelasnya.

 

Dalam pada itu, Boon Poh menzahirkan kesyukuran kerana sehingga hari ini beliau masih selamat walaupun mengalami 14 kali serangan jantung.

 

“Dua kali (serangan) ketika di rumah dan 12 kali di hospital.

 

“Ramai bertanyakan bagaimana saya masih selamat dan saya jawab mungkin ada tugas yang masih belum selesai,” katanya dalam nada sederhana.

 

Meskipun baru melepasi peringkat kritikal, Boon Poh memberitahu bahawa beliau akan mencadangkan kepada Kerajaan Negeri untuk memperkasakan pasukan ‘penggerak balas pertama’ atau ‘First Responder’ di negeri ini.

 

Saya akan berkongsi pengalaman saya baru-baru, yang mana ketika kecemasan adalah penting untuk penyelamat tiba di lokasi tepat pada masanya.

 

“Saya sendiri ketika kejadian (di rumah), anak perempuan saya Syn Sze (yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Sungai Puyu) bertindak pantas menghubungi ‘First Responder’.

 

“(Dan) dalam masa singkat pasukan ‘First Responder’ tiba, terus saya dibawa ke hospital.

 

“Jadi, penting untuk memastikan setiap kawasan kejiranan mempunyai ‘First Responder’ supaya dapat bertindak dalam tempoh masa yang paling singkat,” katanya ketika mencerita detik-detik kejadian pada 1 Ogos lalu.

 

Sementara itu, anak perempuan Boon Poh, Phee Syn Sze ketika dihubungi memaklumkan bahawa bapanya dimasukkan ke hospital setelah mengalami serangan jantung pada 1 Ogos lalu.

 

“Saya hampir kehilangan bapa saya pada malam itu (1 Ogos) dan beberapa hari tidak boleh tidur atau makan.

 

“Tetapi hari ini, keadaan dia lebih baik berbanding sebelum ini dan melepasi peringkat kritikal.

 

“Ini semua berkat doa semua pihak dan merupakan suatu rahmat kerana ‘aura’ positif tersebut, dia terselamat,” ujarnya ketika dihubungi Buletin Mutiara pada pagi ini.

 

Malah, beliau turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesembuhan buat bapanya.

 

Berkecimpung dalam dunia politik selama 35 tahun, Boon Poh telah berkhidmat sebagai ADUN selama 25 tahun sebelum bersara pada tahun lalu.

 

Kami di Buletin Mutiara mendoakan yang terbaik buat beliau.