BERTAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican hari ini menaja 10 peratus baki caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang sepatutnya dibayar oleh 500 peniaga kecil dan penjaja terpilih sekitar kawasan Parlimen Kepala Batas, berkuat kuasa mulai 10 Disember 2024 hingga 9 Disember tahun depan.
Beliau juga Ketua Umno Bahagian Kepala Batas menyampaikan cek replika bernilai RM11,650 kepada Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Pulau Pinang, Rafidah Abdul Rahim dalam majlis berkaitan di sini pada 10 Disember 2024.
“Baki 10 peratus itu sepatutnya dibiayai oleh tuan punya badan (penjaja kecil dan peniaga berlesen) sendiri, tetapi sebagai langkah permulaan saya bersama-sama semua pemimpin Perpaduan (peringkat Parlimen Kepala Batas) mengambil inisiatif dengan menaja 10 peratus (bayaran caruman) itu kepada para penerima dengan nilai mencecah hampir RM11,650.
“Mudah-mudahan dengan adanya skim pelindungan (SKSPS) kepada pada penerima yang bukan sahaja peniaga-peniaga di (Kawasan Dewan Undangan Negeri, KADUN) Bertam, malah di sekitar (kawasan Parlimen) Kepala Batas.
“Bagi saya, Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang terus diperbaiki oleh KESUMA (Kementerian Sumber Manusia) ini adalah suatu skim pelindungan yang sedikit sebanyak mewujudkan sokongan kewangan apabila berlaku bencana kerja,” jelasnya yang juga bekas Ahli Parlimen (MP) Kepala Batas.
Kerajaan Persekutuan melalui PERKESO memandatorikan caruman SKSPS untuk penjaja dan peniaga berlesen.
Langkah mandatori tersebut dilaksanakan menerusi Peraturan-Peraturan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Kadar Caruman Bagi Penjaja Atau Peniaga) 2024 yang diwartakan pada 30 Ogos lalu melalui PU (A) 229 dan berkuat kuasa pada 1 September lalu.
Berdasarkan peraturan yang dikuatkuasakan itu, individu yang mempunyai sebarang lesen atau kelulusan bagi aktiviti berhubung menjaja atau berniaga sama ada tepi jalan mahupun pasar yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), Ordinan Kerajaan Tempatan 1961 (Sabah No 11 1991) atau Ordinan Kerajaan Tempatan 1996 (Sarawak Bab 20) diwajibkan membayar caruman SKSPS PERKESO, di bawah sektor penjaja.
Sektor perkhidmatan pengangkutan penumpang merupakan sektor pertama yang diwajibkan membuat bayaran caruman SKSPS secara mandatori mulai tahun 2017, disusuli sektor perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran barangan atau makanan pada 2022.
Mengulas lanjut, Reezal Merican yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) merakamkan penghargaan kepada Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong kerana memperluas skim pelindungan SKSPS sedia ada dengan mewajibkan penjaja dan peniaga berlesen membayar caruman ‘skim pelindungan pekerjaan sendiri’ tersebut berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.
Berucap sebelum itu, Rafidah berkata Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2025 Persekutuan pada bulan Oktober lepas antara lain mengumumkan pemberian inisiatif 70 peratus untuk sektor terpilih; dan inisiatif 90 peratus (untuk tahun 2024) semasa membentangkan belanjawan pada Oktober 2023, dengan peruntukan RM100 juta.
Beliau berkata, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan ‘kadar tanggungan kerajaan ditingkatkan kepada 90 peratus dengan harapan syarikat pengendali dapat menanggung baki 10 peratus caruman bagi pihak pekerja gig mereka.
“Menerusi Belanjawan 2025 (Persekutuan), Kerajaan telah memberi insentif dengan menanggung kadar caruman 90 peratus.
“Bermodalkan caruman RM23.30 yang ditaja ini, penjaja dan peniaga kecil di bawah skim pelindungan SKSPS ini layak mendapatkan pelindungan bencana kerja PERKESO mulai 10 Disember 2024 hingga 9 Disember 2025.
“Rebutlah peluang keemasan ini dengan menguar-uarkan kepada sanak-saudara dan sahabat handai kerana kurang dari sebulan sahaja inisiatif ini (iaitu Kerajaan Persekutuan menanggung kadar caruman 90 peratus) akan berakhir, pada 31 Disember 2024,” ujarnya lagi.
Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri yang juga Ketua Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kepala Batas, Lay Hock Peng; Siti Nur Shazreen Muhammad Jilani (Pegawai Khas Ahli Parlimen Bukit Mertajam); Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) Kepala Batas, Ramli Omar; Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Pinang Tunggal, Muhasdey Muhammad; PPK Penaga, Mohd. Naim Salleh; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Zainuddin Mohamed dan Penghulu Tinggi Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara (SPU), Mohd. Yusof Hamid turut sertai majlis penyampaian sijil SKSPS kepada 500 penerima yang layak di sini.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS