Mantan Mufti PP dipilih Tokoh Maal Hijrah negeri

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Mantan Mufti Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Pulau Pinang bagi 1436 Hijrah bersamaan tahun 2014 Masihi dalam Majlis Perhimpunan Ummah sempena Sambutan Maal Hijrah 1436H/2014 Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Setelah 17 tahun mencurah bakti sebagai Mufti Negeri dan bersara tahun lalu, beliau yang kini berusia 72 tahun masih meneruskan tugas sebagai Ahli Majlis Penasihat Syariah Kebangsaan untuk Perbankan Islam dan Takaful, Bank Negara Malaysia, Pengerusi Panel Kajian Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang, Felo Yayasan Islam Malaysia, Cyberjaya dan Ahli Jawatankuasa Panel Pensijilan Halal Malaysia (Pulau Pinang).

“Alhamdulillah, saya akan terus berbakti kepada masyarakat, negeri mahupun negara selagi diberi kekuatan, keupayaan dan kesihatan yang mengizinkan.

“Sekarang ini pun, saya masih lagi terlibat dengan beberapa tanggungjawab yang diamanahkan sama ada dalam perbankan Islam atau Majlis Fatwa Negeri.” ujarnya kepada media sejurus selepas menerima anugerah sebagai Tokoh Maal Hijrah 1436H/2014 Peringkat Negeri Pulau  Pinang di sini baru-baru ini.

Pengiktirafan tersebut membolehkan beliau menerima sebuah trofi, medal, sijil dan wang tunai yang disampaikan Yang di- Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Berpengalaman sebagai Penasihat Syariah kepada Institut Keusahawanan Al-Quran Hadith Malaysia, Lembaga Pengarah As-Sahabah Urus Zakat, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak dan Ahli Majlis Penasihat Syariah Sistem Perbankan Islam
Malayan Banking Berhad, Hassan berjanji akan terus berkhidmat selagi termampu.

“Saya sangat teruja dengan anugerah yang diberikan ini dan akan menjadikannya sebagai rangsangan untuk terus berkhidmat.

“Alhamdulillah, segala jasa dan khidmat saya selama ini dihargai oleh Kerajaan Negeri,” katanya yang turut bergiat dalam bidang penulisan.

Antara hasil karya beliau adalah Kaedah dan Peraturan Pajak Gadai Mengikut Kehendak Islam, Usul al-Fiqh, Al-Mafhum wa Mauqif al-Usulliyana min  Hujjiyatih dan Riwayat Hidup Imam al-Nawawi.

Dalam pada itu, pengasas Kumpulan Habib Jewels, Datuk Habib Mohamed Abdul Latif dipilih sebagai penerima Anugerah Usahawan Islam manakala Pengerusi MyIkut Infaq Kebajikan, Muhammad Nur Azlee Stanley Abdullah menerima Anugerah Saudara Kita dan Kamarudin Abdullah sebagai penerima Anugerah Pendakwah Negeri.

Siti Eishah Mat Tait, 78, dari Lahar Tambun, Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara (SPU) pula diumumkan sebagai penerima Anugerah Ibu Mithali apabila tujuh daripada lapan anak-anaknya berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi hasil upah sebagai penoreh getah.

Manakala Ibrahim @ Othman Ismail, 68, dari Kota Aur, Kepala Batas, SPU pula terpilih menerima Anugerah Bapa Mithali setelah tujuh daripada sembilan anak-anaknya bertugas di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia dan dua lagi masih menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) di Kedah.

Dalam majlis sama, dua anugerah baharu turut diperkenalkan iaitu Anugerah Masjid Terbaik dan Anugerah Penarafan Lima Bintang Surau Awam.

Masjid At-Taqwa, Taman Bertam Indah, Kepala Batas, SPU dipilih sebagai Masjid Terbaik Negeri manakala bagi Anugerah Penarafan Lima Bintang Surau Awam, surau Aeon Mall, Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah (SPT) terpilih bagi Kategori Pusat Beli-belah, surau Restoran Pen Mutiara, Batu Maung dan surau Original Penang Kayu Nasi Kandar, Bukit Jambul dipilih bagi Kategori Restoran.

Bagi Kategori Hotel pula, surau Hotel Tabung Haji, Bayan Lepas dan surau Hotel Sunway Seberang Jaya dipilih daripada 29 hotel di bawah senarai penarafan bintang surau awam negeri. Surau Hospital Seberang Jaya dipilih bagi kategori Kawasan Awam.

Bertemakan ‘Memartabatkan Ummah Berpaksikan al-Sunnah wa al-Jamaah’, Majlis Perhimpunan Ummah kali ini turut diserikan dengan bacaan Al-Quran, deklamasi sajak dan forum yang dihadiri dua pendakwah terkenal iaitu Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dan Ustazah Norhafizah Musa.

Turut sama isteri TYT, Toh Puan Majimor Shariff, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon dan isteri, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan isteri serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus dan isteri.