GEORGE TOWN – Mantan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang, Kol. (PA) Ishak Mohd. Radzi menyerahkan tugas secara rasmi kepada Pemangkunya, Leftenan Kol. (PA) Zico Sual dalam satu majlis 31 Mei lalu.
Ishak bersara setelah 32 tahun menabur bakti dalam pasukan APM sejak 1 Disember 1991 sehingga 1 Jun 2024.
Ketika menyampaikan amanat, beliau menyambut baik kerjasama erat Kerajaan negeri bersama APM Pulau Pinang sepanjang bertugas di sini.
“Pemimpin yang ada di negeri ini senantiasa memberi sokogan kepada pasukan APM Pulau Pinang bermula dari Ketua Menteri (Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow), YB Lim Siew Khim (Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam), Menteri Sumber Manusia (Steven Sim Chee Keong), Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) dan semua wakil rakyat yang ada.
“Pada mulanya Siew Khim rapat dengan kita, selepas itu dia berjaya bawa wakil rakyat dari kawasan-kawasan lain untuk diperkenalkan dengan APM, lagipun kita turut bekerjasama melalui CDERT (Pasukan Tindakan Kecemasan APM).
“Tidak cukup di situ, kita melakukan kerjasama erat semasa dalam tempoh pandemik lalu dan saya hargainya,” ujarnya ketika berucap pada perbarisan persaraan beliau dekat Ibu Pejabat APM Pulau Pinang, Jalan Air Itam, baru-baru ini.
Siew Khim antara yang hadir bersama dif-dif kehormat lain ketika memberi penghormatan kepada Ishak.
Beliau dalam pada itu, turut mahukan anggota-anggota APM Pulau Pinang terus menjaga imej pasukan dan hubungan baik bersama dengan masyarakat.
“Besar juga harapan saya agar pasukan APM Pulau Pinang dapat menambah aset pada masa hadapan untuk memudahkan kita melaksanakan misi menyelamat terutamanya ketika bencana,” katanya lagi.
Pada majlis tersebut, Ishak diarak meninggalkan majlis menaiki bot amfibia dan memeriksa perbarisan kehormat.
Selamat bersara!
Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI