PULAU TIKUS – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap kesemua majikan di negeri ini memantapkan kolaborasi melalui caruman berwajib dengan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) memandangkan institusi itu diberi mandat untuk menguruskan simpanan persaraan rakyat Malaysia.
Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyampaikan amanat tersebut semasa merasmikan Majlis Anugerah Majikan Terbaik (AMT) KWSP Tahun 2024 di sini pada 17 Disember 2024.
“(Majikan melakukan caruman kepada para pekerja) ini memang berdasarkan peruntukan undang-undang dan keperluan yang wajib.
“Saya berharap KWSP terus menjadi rakan terpenting baik kepada majikan mahupun pekerja dalam menjadikan simpanan asas semasa persaraan nanti adalah mencukupi,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan dalam majlis berkaitan.
Di samping itu, Kon Yeow turut menzahirkan rasa bangga apabila 95.15 peratus kadar pematuhan caruman KWSP di Pulau Pinang diberitahu adalah ketiga tertinggi dalam negara.
Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut memberitahu dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2024 menyaksikan sebanyak RM31.38 bilion pelaburan berjaya direalisasikan di Pulau Pinang.
Berucap sebelum itu, Pengarah KWSP Wilayah Utara, Jeffary Mohamed Isa menyatakan bahawa Pulau Pinang merupakan negeri yang mencatatkan kadar celik kewangan tertinggi di Wilayah Utara Semenanjung Malaysia iaitu sebanyak 36 peratus berbanding purata kebangsaan pada 29 peratus.
“Ini merupakan bukti komitmen utuh Kerajaan Negeri dalam menjayakan agenda persaraan KWSP, dan khusus dalam membantu lebih ramai ahli mengharungi masa depan persaraan yang lebih baik.
“KWSP terus komited dalam menyatakan agenda persaraan rakyat Malaysia dan Pulau Pinang,” ujarnya.
Turut berucap, Ketua Cawangan KWSP Seberang Jaya, Mohd. Majdy Mohd. Said yang juga pengerusi jawatankuasa penganjuran AMT tahun ini.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD DAUD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS