BUKIT TAMBUN – Seramai 22,000 peserta dari 64 negara dan wilayah menyertai Maraton Aspen-Klippa Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dekat Batu Kawan.
Semasa menyempurnakan acara perasmian penutup majlis tersebut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata bahawa penganjuran acara antarabangsa itu sekali gus melambangkan Seberang Perai khususnya Batu Kawan adalah masa depan pembangunan negeri Pulau Pinang.
“Kita (Kerajaan Negeri) begitu komited untuk mengekalkan Pulau Pinang sebagai arena penganjuran sukan peringkat antarabangsa.
“Jika kalian masih ingat apa yang saya katakan beberapa tahun lepas, masa depan (pembangunan) Pulau Pinang adalah Seberang Perai, (dengan penganjuran acara maraton antarabangsa) pada hari ini, masa depan negeri adalah Batu Kawan,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota dalam majlis berkaitan yang berlangsung di Vervea High Street, Batu Kawan dekat sini pada 15 Disember 2024.
Tambah beliau, ketika ini, agenda pembangunan bercampur di sekitar kawasan Batu Kawan rancak dilaksanakan.
“Kawasan (sekitar Batu Kawan) ini berpotensi bukan sahaja sebagai kawasan pembangunan infrastruktur, malah turut menyediakan peluang pertumbuhan pelaburan serta pelancongan.
“Akan kita lihat Batu Kawan menjadi hab pilihan untuk aktiviti perniagaan dan acara antarabangsa (yang mana) transformasi ini akan memacu pertumbuhan ekonomi negeri, mencipta peluang kerjaya berkualiti dan peluang baharu untuk aktiviti keusahawanan lokal, serta akan menggamit minat pengunjung dari seantero dunia,” ujarnya.
Berucap sebelum itu, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai yang juga ADUN Paya Terubong antara lain menyatakan bahawa para pelari yang berjaya menghabiskan acara bagi kategori 10 kilometer (km) dan separa maraton 21km, mungkin boleh mencabar diri menyertai maraton penuh sejauh 42km dalam siri penganjuran acara antarabangsa akan datang, kelak.
ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; ADUN Sungai Puyu, Phee Syn Tze; Pengerusi Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB), Dato’ Abdul Malik Abul Kassim; Ketua Pegawai Eksekutif JKSB, Dato’ Faisal Shahbudin dan Pengarah Urusan ASPEN, A. Anilarasu turut sertai majlis penutup dan penyampaian hadiah pelbagai kategori bagi acara antarabangsa tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI