Masalah kecederaan bukan penghalang atlet gimnastik artistik raih dua emas, dua gangsa

img 20240823 185034 514

SERIAN – Meskipun dibelenggu dengan masalah kecederaan, namun itu tidak menjadi penghalang kepada atlet-atlet gimnastik artistik Pulau Pinang menggondol dua pingat emas dan dua gangsa hari ini.

Emas pertama di gelanggang gimnastik dekat Serian Conference Centre di sini hadir menerusi persembahan bertenaga dan kemas Wilson Wei Sin Yeow dalam acara gelang dengan mencatatkan 12.000 mata.

Walau bagaimanapun, Sin Yeow terpaksa berkongsi pingat emas dengan atlet dari Johor, Muhammad Bariq Adif Mat Daud yang juga mencatatkan jumlah mata yang sama.

Pingat gangsa turut diraih atlet Pulau Pinang apabila Kai Jack Liew berjaya mengatasi beberapa pencabar untuk menduduki tempat ketiga dengan kutipan 11.850 mata.

Kegembiraan sekali lagi hadir buat Kontinjen Pulau di gelanggang gimnastik apabila Anson Yu Hang Tan diumumkan sebagai pemenang pingat emas bagi acara kekuda berpelana dengan catatan 12.475 mata.

img 20240823 185049 507

img 20240823 185039 019

img 20240823 185045 975

Pingat perak bagi acara ini dimenangi oleh Muhammad Bariq Adif Mat Daud dari Johor dengan catatan 12.275 mata manakala gangsa milik atlet dari Kelantan, Nor Adam Hazziq Nor Azaha (11.650 mata).

Di samping itu, Anson Yu Hang Tan sekali lagi tampil menghadiahkan pingat gangsa kedua menerusi acara senam lantai dengan mencatatkan 12.500 mata.

Pingat emas bagi acara ini dimenangi oleh atlet dari Kelantan, Nor Adam Hazziq Nor Azaha dengan catatan 13.150 mata manakala perak milik atlet Johor, Muhammad Bariq Adif Mat Daud (12.825 mata).

Sementara itu, Pengurus Pasukan Gimnastik Artistik Pulau Pinang, Foong Wah Seng memberitahu bahawa kesemua atlet sedang berdepan masalah kecederaan, namun mereka masih mampu memberikan persembahan yang terbaik hari ini.

“Saya sangat kagum dengan keberanian dan ketabahan mereka kerana walaupun berdepan masalah kecederaan, mereka masih mampu tampilkan persembahan terbaik dan memenangi pingat emas.

“Terima kasih kepada jurulatih kebangsaan dan negeri yang telah berusaha bersungguh-sungguh memberi latihan dan semangat kepada atlet kita sejak dari usia muda sehingga kini.

“Oleh itu, hari ini kita dapat saksikan mereka telah menunjukkan keputusan yang sangat baik,” katanya sambil menambah bahasa masih ada dua atlet gimnastik akan turun beraksi pada hari esok.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI