Masalah perumahan, KN hantar usul bersama kepada Perdana Menteri

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) dan parti pembangkang Pulau Pinang (Barisan Nasional, BN) secara rasminya menghantar usul bersama berhubung masalah perumahan yang dihadapi di  negeri ini kepada Perdana Menteri dan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2 Mac lalu.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo pada sidang media baru-baru ini berkata, usul bersama tersebut adalah untuk menarik perhatian Kerajaan Persekutuan dan BNM agar segera menangani isu-isu perumahan yang berbangkit di negeri ini.

“Secara rasminya, persetujuan (usul bersama) ini mengandungi dua perkara yang memerlukan perhatian dan tindakan segera Perdana Menteri.

“Pertama, pihak Kerajaan Persekutuan dan BNM perlu memandang serius dan menangani masalah kadar penolakan permohonan pinjaman pembiayaan rumah kos rendah (KR), kos sederhana rendah (KSR) dan mampu milik (RMM) oleh bank-bank komersial yang begitu tinggi.

“Diikuti, isu penyewaan KR dan KSR yang secara nyatanya melanggar syarat kelayakan penawaran dengan memperkenalkan polisi dan dasar perumahan baru dan/ atau menyemak peruntukan perundangan sedia ada,” jelasnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat di sini.

Pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang bersidang November tahun lalu, kedua-dua pihak (Kerajaan Negeri dan Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid) bersetuju agar satu usul dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan supaya masalah perumahan di Pulau Pinang dapat diselesaikan demi kepentingan rakyat.

Justeru, pada 22 Februari lalu, usul bersama tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan Jahara, yang turut dikepilkan bersama sepucuk surat bertarikh 2 Mac 2017 kepada Perdana Menteri berhubung perkara berkaitan.

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu bahawa ia adalah satu sejarah apabila kedua-dua pihak iaitu Kerajaan Negeri dan juga pihak pembangkang (BN) membuat persetujuan bersama demi kepentingan rakyat.

“Harapan saya agar isu perumahan ini tidak dipolitikkan, sebaliknya permasalahan perlu ditangani dengan segera.

“Tidak ada gunanya Kerajaan Persekutuan bertungkus-lumus menyediakan KR dan KSR yang banyak, tetapi akhirnya tidak dapat diakses oleh gologan yang sememangnya betul-betul memerlukan.

“Malah, bank-bank komersial di negara ini tidak seharusnya melayan golongan berpendapatan rendah seperti golongan yang mampu membeli rumah kerana mereka ini (golongan berpendapatan rendah) benar-benar memerlukan pinjaman tersebut,” jelas beliau.