Masih laksana operasi pemeriksaan, punca pencemaran udara tidak dapat dipastikan lagi – Exco

Admin
f012ae94 9b14 4e1f 92f9 649197211b51

PERAI – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang menjalankan operasi pemeriksaan mengejut di sebuah kilang dekat Zon Perindustrian Bebas 1 di sini pada petang tadi.

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata operasi tersebut susulan beberapa aduan daripada penduduk sekeliling dalam radius 100 meter (m) sejak minggu lepas, berhubung pencemaran udara yang didakwa turut mengandungi elemen besi.

“Kita (Pihak Berkuasa Negeri) tidak boleh persalahkan pihak kilang berkenaan selagi JAS tidak membuat pemeriksaan berwajib.

“Tidak dapat dipastikan lagi punca pencemaran udara tetapi oleh kerana habuk itu mengandungi kandungan besi yang boleh dimagnetkan, kita rasa dari kilang besi.

“Kalau bukan dari punca (kilang besi) di sini, baru kita pergi ke sana (kilang besi yang lebih jauh dari kawasan udara tercemar ini,” jelasnya lagi dalam sidang media berkaitan di sini pada 23 Julai 2024.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai itu lagi, pihaknya telah menemui serta mendapatkan kerjasama daripada Ketua Pegawai Operasi kilang besi berkenaan untuk melaksanakan pemeriksaan berwajib.

Malah, menurutnya lagi, pihak kilang besi berkenaan turun diminta menghantar laporan berkaitan secara berkala dalam tempoh tiga bulan, bagi membantu siasatan berwajib peringkat JPS negeri.

c02a61dd be5b 4c69 bced a3f38ef76399
NORAZIZI Adinan

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Pengarah JAS Pulau Pinang, Norazizi Adinan berkata Indeks Pencemaran Udara (API) di sini ketika ini antara 60 hingga 80, dengan mengambil kira faktor jerebu di sini.

“Biasanya API dalam 70; pada minggu kalau ikut Jabatan Meteorologi (Malaysia) memang angin bertiup dari arah laut ke darat, jadi banyak (pihak) akan terkesan di kawasan-kawasan perumahan,” katanya lagi.

Terdahulu, sejak minggu lepas lagi Sundarajoo berkata pihaknya menerima beberapa aduan secara verbal berhubung pencemaran udara daripada penduduk setempat, tetapi tiada laporan bertulis dibuat kepada JAS negeri.

Paling teruk, menurutnya lagi, beliau menerima klip rakaman video pencemaran udara semalam yang menunjukkan habuk yang dipercayai sisa besi boleh ditarik dengan bahan magnet.

Sehingga petang tadi, JAS Pulau Pinang masih melaksanakan operasi pemeriksaan mengejut di sebuah kilang besi di sini, yang mana setakat ini tiada kompaun ataupun notis ketidakpatuhan dikeluarkan kepada mana-mana pihak yang terlibat di sebalik dakwaan pencemaran udara dengan elemen habuk besi tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR