Teks & Gambar : AINUL WARDAH SOHILLI
GEORGE TOWN – Pulau Pinang melakar sejarah apabila buat julung kalinya mewujudkan sebuah masjid untuk masyarakat Cina Muslim, Masjid Cina Titi Papan di negeri ini.
Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, masjid tersebut bakal menjadi perintis di negeri ini sebagai sebuah masjid Cina bercirikan Islam dan ditadbir komuniti Cina Muslim.
“Kewujudan masjid ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian dan prihatin terhadap perkembangan semasa.
“Saya harap dengan adanya masjid ini, ia dapat menjadi institusi yang mampu merapatkan ukhuwah dan memberi peluang serta ruang untuk orang bukan Islam memahami dan mendekati Islam,” katanya ketika hadir pada Majlis Jamuan Eidul Fitri Saudara Kita Pulau Pinang 2014 dan Perasmian Masjid Cina Titi Papan, Jalan Burma, dekat sini baru-baru ini.
Abdul Malik menjelaskan, di masjid itu juga, khutbah Jumaat disampaikan dalam bahasa Mandarin bermula awal Ogos lalu dan inisiatif tersebut akan membuka peluang kepada masyarakat Tionghua memahami Islam serta ajarannya.
“Kita mungkin akan teruskan khutbah dalam bahasa Mandarin sekurang-kurangnya sebulan sekali selain menganjurkan kelas- kelas asas fardhu ain dan kuliah dalam bahasa sama (Mandarin) secara mingguan,” katanya.
Selain itu, tambah Abdul Malik, pelantikan pentadbiran dalam kalangan komuniti Cina Muslim juga adalah langkah proaktif dalam memperbanyakkan lagi aktiviti-aktiviti keagamaan yang dilaksanakan dalam bahasa Mandarin dan mengembangkan syiar Islam di Pulau Pinang.
“Hal ini membuktikan Kerajaan Negeri tidak pernah menghalang sebarang aktiviti keagamaan, malah memartabatkan lagi masyarakat Islam di Pulau Pinang,” tambahnya.
Beliau memberitahu, inisiatif itu juga adalah sebagai memenuhi permintaan komuniti Cina Muslim sejak tahun 2008 lagi. Setelah beberapa pertimbangan, Masjid Jamek Titi Papan dipilih sebagai perintis Masjid Cina di sini.
Dalam pada itu, Pengerusi Qaryah Masjid Cina Titi Papan, Abdul Karim Ali, 53, ketika ditemui berkata, beliau gembira apabila masjid tersebut dipilih sebagai perintis penubuhan Masjid Cina yang pertama di negeri ini.
Masjid yang mampu menampung sehingga 300 jemaah dalam satu-satu masa dan setiap kali solat Jumaat, 10 peratus jemaah yang hadir adalah dalam kalangan Cina Muslim.
Mula dikenali sebagai Masjid Jamek Titi Papan, masjid berkenaan dibuka pada tahun 1893 di atas tanah paya ditambak dan pernah menjadi masjid untuk masyarakat Jawi Peranakan pada pertengahan abad ke-19.
Terletak di persimpangan Jalan Khoo Sian Ewe di Jalan Burma, masjid tersebut turut menjadi tumpuan pelancong asing selain Masjid Kapitan Keling, Masjid Jamek Benggali (Lebuh Leith), Masjid Jamek Lebuh Acheh dan Masjid Jamek Alimshah Walley (Lebuh Chulia).