GEORGE TOWN – Sebagaimana dihasratkan oleh Perdana Menteri, Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim baru-baru ini, semua masjid di negeri Pulau Pinang wajar menjadi lokasi memperkasa komuniti setempat dan bukan sekadar tempat beribadat semata-mata.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa berucap dalam Masjid Berbuka Puasa Bersama-sama Penduduk Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis,anjuran Masjid Jamek Al-Marjan di sini pada 27 Mac 2025.
”Dalam ucapan beliau baru-baru ini, Perdana Menteri menyatakan kepentingan masjid bukan hanya sebagai tempat ibadah, tetapi juga sebagai pusat komuniti yang aktif dalam memperkasakan masyarakat.
“Justeru, saya berharap agar Masjid Jamek Al-Marjan menyambut baik saranan tersebut dengan memperbanyakkan lagi program-program berasaskan komuniti serta mengadakan kelas-kelas pengajian yang memberikan manfaat kepada semua pihak,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan sambil menganggap syor Perdana Menteri adalah selari dengan Visi Penang2030.
Di samping itu, beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa beliau terharu apabila menyaksikan semangat muhibah, toleransi dan kasih sayang yang telah lama sebati dalam komuniti di Pulau Pinang sepanjang bulan Ramadan dengan menyatuni pelbagai latar belakang kaum, agama serta pembangunan ekonomi.
Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut memuji usaha membina Bilik Ilmiah di Flat PPR Taman Manggis yang bermula pada tahun 2021 dan siap sepenuhnya pada 2024 dengan kos RM230,000, iaitu RM150,000 disumbangkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang dan Ahli Parlimen Tanjong (RM80,000).
“Pembinaan bilik ini merupakan hasil usaha sama semua pihak yang berinisiatif memastikan pembangunan sosial masyarakat setempat terus berkembang bagi merealisasikan Visi Penang2030 dan gagasan Malaysia Madani, iaitu untuk melahirkan sebuah masyarakat aktif dengan dilengkapi pelbagai kemudahan dan infrastruktur yang mencukupi,” ujarnya lanjut.
Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying yang juga Timbalan Menteri Kewangan dan Pengerusi Masjid Jamek Al-Marjan, Osman Mydin turut berucap dalam majlis tersebut.
Hadir sama, Presiden Persatuan Kemajuan Wanita Pulau Pinang (PERJUANITA), Dr Patimah Kader dan Imam Masjid Jamek Al-Marjan, Amraj Mustaffa.
Terdahulu, Anwar dalam satu majlis keramaian di Masjid Jamek Perai memberitahu pentadbiran Kon Yeow bahawa pihaknya mahu melihat masjid dan surau sekitar Pulau Pinang bukan sahaja menjadi tempat beribadat, malah pusat pemerkasaan komuniti setempat.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : T. DANESWARAN
Video : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR