Masjid Jamek Al Marjan peroleh tauliah Solat Jumaat, selari pembangunan syiar Islam Negeri

Admin
b8229074 1050 40f6 a85d ac230d9292f7

GEORGE TOWN – Pertauliahan Masjid Jamek Al Marjan di Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin untuk menunaikan Solat Jumaat adalah selari dengan matlamat Kerajaan Negeri untuk memartabatkan syiar Islam di Pulau Pinang.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa beliau gembira dengan pertauliahan yang diterima pihak berkaitan.

 

“Mengimbau pengalaman dan perjalanan saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota selama 16 tahun, pelbagai pengalaman pahit manis telah kita lalui bersama melibatkan semua penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis ini.

“Lebih menggembirakan lagi adalah pada bulan April tahun lepas, saya turut berpeluang menyaksikan Masjid Al Marjan (sebelum ini surau) diberikan tauliah oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) untuk membenarkan ahli kariah mengadakan Solat Jumaat di sini.

“Usaha ini sudah pastinya dapat memudahkan ahli kariah di sini menunaikan Solat Jumaat di sini dengan lebih mudah,” ujarnya pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Masjid Jamek Al Marjan, Taman Manggis di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Benji Ang Ming Quan; Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Eazlam Abdul Hamid; Penghulu Kanan Daerah Timur Laut, Muhamad Zailani Othman; Pengarah Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Padang Kota/Parlimen Batu Kawan, Ewe Chee Way dan Pengerusi Kariah Taman Manggis Masjid Jamek Al Marjan, Osman Mydin.

Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota dalam pada itu juga mahu semua pihak berkepentingan dengan PPR Taman Manggis untuk terus cakna dengan keperluan penduduk di sini.

“Saya harap pihak-pihak yang ada kaitan dengan PPR Taman Manggis seperti MBPP, Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LMNPP), MAINPP dan lain-lain terus mengambil tahu tentang keperluan-keperluan dalam menambah baik keadaan di Taman Manggis ini,” ujarnya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI