Masjid Jamek Batu Maung baharu selesa, tampung 1,500 jemaah

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

BATU MAUNG – Sejumlah RM3.7 juta diperuntukan bagi membina semula Masjid Jamek Batu Maung di atas sebahagian Lot 1537, dekat sini.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, sejumlah RM3 juta diperuntukan Kerajaan Negeri manakala bakinya adalah hasil derma orang ramai.

Abdul Malik yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung berkata demikian ketika hadir pada Majlis Perasmian Majlis Pecah Tanah Pembinaan Masjid Baru di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.

Menurut Abdul Malik, cadangan pembinaan semula masjid tersebut adalah rentetan usul diketengahkan Ahli Jawatankuasa (AJK) Qaryah Masjid iaitu keperluan ruang yang lebih besar bagi menampung jumlah jemaah di kawasan tersebut.

“Setiap minggu ketika solat Jumaat, lebih daripada 100 jemaah terpaksa mendirikan solat di bangunan luar masjid sama ada atas tanah atau jalan tar, susur masuk ke masjid.

“Apabila masjid ini siap kelak, ia boleh menampung sehingga 1,500 jemaah dalam satu-satu masa dan turut dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan asas seperti ruang solat utama, ruang solat terbuka, mimbar dan mehrab serta tempat berwuduk yang selesa,” katanya ketika berucap di sini baru-baru ini.

Tambahnya, keperluan untuk menggantikan masjid lama yang telah berusia hampir 100 tahun itu adalah wajar memandangkan struktur kayu yang telah dimakan anai-anai dan sebahagian bumbung masjid yang bocor dan berkarat.

Dalam pada itu, pembinaan masjid baru tersebut turut mendapat pelbagai reaksi positif dalam kalangan masyarakat setempat khususnya yang beragama Islam.

Pengerusi Qaryah Masjid, Yusuff Osman, ketika ditemui berkata, pembinaan masjid baru itu membuktikan usaha kerajaan menyediakan rumah ibadat selesa kepada penduduk yang majoritinya beragama Islam.

“Masjid sedia ada sesak dan tidak mampu lagi menampung jumlah jemaah yang ramai. Alhamdulillah, dengan adanya masjid baru kelak, ia bakal menjadi institusi membina perpaduan masyarakat Islam di Batu Maung ini,” kata beliau kepada Buletin Mutiara.

Kerja-kerja perobohan dan pembinaan semula Masjid Jamek Batu Maung telah berkuatkuasa pada 2 Jun lalu dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Mei 2016.