GEORGE TOWN – Masjid Pintal Tali yang siap dibaik pulih dengan kelulusan dana oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow bernilai RM104,400 kini boleh digunakan sepenuhnya.
Kon Yeow berkata, Masjid Pintal Tali yang berusia 205 tahun itu mempunyai nilai sejarah yang penting kepada pembangunan dan kemajuan Tanjong.
“Saya gembira melihat masjid ini boleh digunakan semula untuk sembahyang walaupun bukan untuk (solat) Jumaat tetapi dapat menghidupkan kembali Masjid Pintal Tali untuk manfaat umat Islam di kawasan ini.
“Masjid ini menjadi satu mercu tanda dan menjadi saksi kepada pembangunan sosial dan ekonomi di kawasan Tanjong dan George Town sejak turun- temurun.
“Jadi saya amat gembira dapat datang semula ke sini selepas kerja-kerja membaik pulih khususnya bahagian bumbung telah siap dan memberi manfaat kepada umat Islam di sini,” ujarnya pada Majlis Jamuan Teh Madani Sempena Bulan Ramadan Besama-sama Komuniti Bukan Islam dan Menandatangani Plak Masjid Pintal Tali.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Abdul Kahar Abdullah; Pengerusi Masjid Pintal Tali, Abdullah Mohd. Sharif dan Timbalan Pengerusi Masjid Pintal Tali, Abdul Aziz Firuz.
Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota mahukan masyarakat di negeri ini untuk terus memperkukuhkan perpaduan sedia ada sambil mengekalkan semangat toleransi.
“Walaupun Malaysia sudah merdeka lebih 60 tahun tetapi isu-isu perkauman, budaya dan agama masih lagi menjadi isu yang senantiasa perlukan perhatian.
“Alangkah indahnya kalau isu-isu sedemikian tidak terjadi dan semua dapat hidup aman, harmoni, serta saling memahami walaupun terdapat perbezaan.
“Sekiranya kita berusaha untuk memahami budaya, adat resam, serta agama, maka semangat ini akan menjadi contoh kepada generasi akan datang,” ulasnnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : SIEW CHIA EN