Masjid seluruh Pulau Pinang tunai solat hajat tanda solidariti Palestin

Admin

GEORGE TOWN – Lebih 200 masjid di seluruh Pulau Pinang menyahut seruan Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melakukan solat hajat bagi keselamatan rakyat Palestin yang berdepan penindasan kejam Israel.

 

 

Di Masjid Negeri, lebih 2,000 jemaah menunaikan solah hajat yang diketuai Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid seusai solat fardu Jumaat sebelum melakukan himpunan aman sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin.

 

 

Mohamad dalam ucapannya berkata, himpunan tersebut adalah untuk menghantar mesej jelas bahawa umat Islam di Pulau Pinang menolak sekeras-kerasnya kekejaman Israel terhadap Palestin.

 

 

“Hari ini kita melakukan solat hajat dan himpunan aman sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin yang menerima tekanan daripada rejim Zionis dan telah melibatkan kehilangan nyawa orang awam yang tidak berdosa.

 

 

“Doa kita pada hari ini telah menjadi satu simbol solidariti keselamatan untuk rakyat Palestin.

 

 

“Untuk itu, Kerajaan Negeri melalui MAINPP juga telah mengarahkan setiap masjid di Pulau  Pinang mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat memohon keselamatan ke atas rakyat Palestin,” tegas beliau dalam himpunan sebentar tadi.

 

 

Turut hadir, Exco Agroteknogi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol; Mufti Kerajaan Negeri, Sohibus Samahah, Dato’ Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor; Imam Besar Masjid Negeri Pulau Pinang, Dato’ Mohd. Nordin Samah; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Pulau Pinang, Dr. Roslan Ahmad serta badan-badan bukan kerajaan (NGO).

 

 

Serentak dengan itu, MAINPP turut melancarkan tabung solidariti Palestin bagi membantu negara itu dari segi keperluaan asas seperti makanan, perubatan dan lain-lain yang boleh disalurkan melalui Bank Islam pada nombor akaun 07025010036936.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD