AIR ITAM – Sebanyak 26 unit penyaman udara mudah alih diserahkan kepada wakil-wakil masjid, surau, balai polis dan persatuan-persatuan di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam dekat sini pada 8 Mac 2025.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang ketika dihubungi memberitahu bahawa sumbangan berjumlah RM42,900 itu adalah bertujuan meningkatkan keselesaan terutama ketika cuaca panas kini.
Penyaman udara ini menjadi penyelamat cuaca panas selain memberi ventilasi yang lebih sejuk, nyaman dan selesa,” ujarnya pada majlis penyerahan yang diadakan di Pusat Penang2030 Air Itam di sini.
Masjid Jamek Jalan Zoo; Masjid Bandar Baru Air Itam; Masjid Jamek Paya Terubong; Surau Happy Valley; Surau Kampung Tengah; Surau Kampung Melayu dan Surau Desa Mawar antara penerima sumbangan.

Selain itu, Balai Polis Air Itam; Balai Polis Bandar Baru Air Itam; Persatuan Bomba Sukarela (PBS) Paya Terubong; PBS Kampung Pisang; Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pisang; MPKK Shaik Madar; MPKK Thean Teik dan Pusat Belia Jawatankuasa Belia Pulau Pinang (JBPP) Air Itam turut menerima sumbangan sama.
Buletin Mutiara difahamkan bahawa kesemua penyaman udara berkenaan adalah hasil sumbangan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh yang turut hadir pada majlis penyerahan tersebut, dan Soon Siang sendiri selaku wakil rakyat.

Dalam pada itu, Soon Siang memaklumkan bahawa pada bulan Disember lepas, sebanyak 34 unit penyaman udara mudah alih telah disumbangkan kepada 16 buah sekolah termasuk satu kolej vokasional dan Pejabat Pendidikan Daerah Timur Laut.
“Setiap unit berharga RM1,650 jadi tahun lalu (2024) kami (Ramkarpal dan Soon Siang) telah membelanjakan RM56,100.
“(Dan) termasuk pada hari ini, menjadikan jumlah terbesar (perbelanjaan) adalah RM99,000,” jelasnya.

Mengambil kesempatan sama, Soon Siang menitipkan nasihat kepada orang ramai supaya mengurangkan aktiviti yang terdedah pada cuaca panas bagi mengelakkan risiko dehidrasi.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : ALISSALA THIAN