Masyarakat diseru amal gaya hidup sihat, luang masa bersenam setiap minggu

ZAIRIL Khir Johari (kanan sekali) mengambil kesempatan mencuba kelas spinning yang turut disediakan di Ultimate Fitness Center kepada pelanggan yang berhasrat meningkatkan kecergasan stamina.

GEORGE TOWN – Masyarakat di Pulau Pinang khususnya penjawat awam diseru untuk menjalani gaya hidup sihat dengan meluangkan masa untuk bersenam setiap minggu.

 

Seruan tersebut disuarakan Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari berdasarkan fakta kira-kira 40 peratus rakyat Malaysia terpaksa belanjakan wang yang banyak untuk penyakit seperti diabetes, jantung dan lain-lain akibat daripada tidak mengamalkan gaya hidup sihat.

 

“Untuk bersenam sebenarnya kita sendiri perlu tetapkan masa dan nekad, kalau anda bertangguh misalnya… tak apalah esok balik kerja saya buat (senaman), memang tak akan jadi sebab esok kemungkinan ada perkara lain yang anda perlu lakukan.

“Jadi sekiranya anda punyai masa, bersenamlah dengan apa-apa senaman, di pejabat pun boleh buat senaman ringan seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun Ultimate Fitness Center dekat Lorong Drury (Lebuh Campbell) baru-baru ini.

Hadir sama, Pengasas kepada Ultimate Fitness Center, Tan Tiang Huat dan artis tempatan, Chelsi Ang.

Mengulas lanjut Zairil menyatakan bahawa Kerajaan Negeri sememangnya akan memberi sokongan penuh dalam melahirkan masyarakat yang sihat melalui penglibatan dalam aktiviti sukan.

 

Sementara itu, Tiang Huat ketika ditemui mengajak penjawat awam di Pulau Pinang untuk merebut peluang harga istimewa yang ditawarkan di Ultimate Fitness Center.

“Harga yang saya tawarkan amat berbaloi untuk sebuah gym yang luas serta menggunakan peralatan yang diimport khas dari Amerika Syarikat,” ringkas beliau ketika ditemui.

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI