SEBERANG JAYA – Seiring dengan perkembangan teknologi yang kian pesat pada masa kini, Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) memperkenalkan perkhidmatan Hub Digital @PPAPP sebagai platform kepada semua perkhidmatan atas talian.
Pengarahnya, Sharimah Salleh berkata, terdapat 15 pangkalan data disediakan di bawah perkhidmatan tersebut yang boleh diakses di seluruh negara melalui telefon pintar tanpa memerlukan pengguna berkunjung ke perpustakaan.
“Hub Digital @PPAPP sudah lama dibina iaitu sejak tahun 2018 tetapi sambutan yang diterima daripada masyarakat adalah kurang memberangsangkan iaitu daripada jumlah 65,000 pengguna internet, hanya 721 pengguna (satu peratus) sahaja yang mengakses pangkalan data tersedia.
“Sedangkan perkhidmatan ini mampu memberi impak yang besar kepada masyarakat kerana mereka bebas membuat rujukan tanpa sempadan masa dan tempat.
“Oleh itu, kita (PPAPP) amat berharap agar perkhidmatan ini dapat diuar-uarkan supaya peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri bagi tujuan ini mampu dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat di negeri ini,” katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.
Turut serta, Exco Belia dan Sukan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Soon Lip Chee dan Pustakawan, Syariful Nahar Mat Saad.
Mengulas lanjut, Sharimah menjelaskan bahawa Hub Digital @ PPAPP menawarkan sebanyak 12,992 e-Book, jurnal (70,452), artikel (5,048,107), biografi (9,162), teks ucapan (9,712) serta lebih 2,000 capaian sumber rujukan yang terkandung di dalam 15 pangkalan data utama tersebut dan boleh dimuat turun secara percuma melalui Play Store dan iTunes Store.
“Kita (PPAPP) juga membangunkan e-Book sendiri untuk menyimpan koleksi-koleksi lama yang mencecah usia 300 tahun selain keratan-keratan akhbar semasa zaman penjajahan Jepun yang dibuat dalam bentuk digital.
“Terdapat juga koleksi gambar-gambar lama Pulau Pinang yang boleh diakses oleh semua masyarakat,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Lip Chee yang merupakan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Buku dan Pelupusan PPAPP berkata kemudahan yang disediakan itu dapat memberi kemudahan kepada semua pihak selain mampu menggalakkan amalan membaca dalam kalangan masyarakat.
Difahamkan, kesemua pangkalan data yang tersedia di Hub Digital @PPAPP terdiri daripada Overdrive, e-Law, Emerald Publishing, www.lawnet.com.my, iG Library, BLIS (Infolink Bernama), e-Lib (e-Sentral), Mason Crest (MC), BOND (Benchmarking Online Networking Database), Program Score-A, Worldcat (OCLC), IFN Islamic Finance news, Ookbee Buffet (Baca Tanpa Had), Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (e-Book) serta Alkem Digital Library.
Setiap pangkalan data boleh diakses melalui komputer atau telefon pintar menggunakan kata laluan yang boleh didapati di laman sesawang http://www.penanglib.gov.my
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD