Masyarakat perlu main peranan hindar kes COVID-19 di Pulau Pinang

Admin

TANJUNG BUNGA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mahu semua lapisan masyarakat memainkan peranan penting agar tiada lagi kes COVID-19 di Pulau Pinang.

Beliau berkata demikian pada lawatan meninjau tatacara menerima pelawat di kediaman strata I-Santorini, Tanjung Tokong dekat sini petang tadi.

“Di Pulau Pinang, kita ada lebih 1,300 projek strata yang mana setiap syarikat pengurusan perlu bertanggungjawab memastikan protokol (pemeriksaan saringan kesihatan) dapat disediakan dan ada kakitangan yang dikhususkan untuk memantau.

“Diharapkan penduduk-penduduk dapat mematuhi SOP (piawaian operasi standard) dalam memastikan kita dapat mengelak perebakan virus melalui individu kepada individu lain.

“Pulau Pinang telah menjadi zon Hijau, oleh itu, Kerajaan Negeri memerlukan masyarakat umum memainkan peranan masing-masing bagi memastikan kes-kes COVID-19 tidak lagi berlaku di negeri ini,” ujarnya pada sesi lawatan berkenaan.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai; Pengerusi Eksekutif Ideal United Bintang International Berhad, Tan Sri Alex Ooi Kee Liang; Pengarah Ekskutif Ideal United Bintang International Berhad, Puan Sri Joanne Phor Li Wei dan Ketua Pegawai Operasi Ideal Property Group, Datuk Goh Teng Whoo.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyeru kepada semua syarikat pengurusan projek-projek perumahan strata supaya mengambil langkah-langkah wajib meliputi saringan kesihatan serta pensanitasi.

Dalam pada itu, beliau berpuas hati dengan pengurusan I-Santorini yang menguruskan rekod keluar masuk, pensanitasi dan penjarakan sosial yang diamalkan.

“Sebagai tempat awam baharu yang ada pergerakan keluar serta masuk, maka tatacara merekodkan pelawat adalah penting.

“Pengurusan telah mengambil langkah-langkah yang perlu supaya menjaga keselamatan penduduk-penduduk di sini,” ulasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

Video : ALVIE CHENG