Matlamat CMS martabat syiar Islam selari Visi Penang2030

Admin

BATU UBAN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memuji penganjuran Konvensyen Central Muslim Society (CMS) 1.0 memfokuskan bidang pendidikan, usahawan dan warisan yang mana segmen-segmen berkaitan turut dititikberatkan khususnya dalam pembangunan sahsiah umat Islam di negeri ini.

 


Menurut beliau, penganjuran konvensyen tersebut juga adalah selari dengan Visi Penang2030 yang digagaskan demi menempatkan Pulau Pinang sebagai Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara khususnya dalam pembangunan Syiar Islam di negeri ini yang turut menjadi matlamat CMS.

 

 

“Keunikan konvensyen kali ini adalah penekanan pembangunan oleh CMS selaku penganjur yang memberi fokus kepada tiga bidang iaitu pendidikan, usahawan dan warisan yang mana ia adalah tonggak utama pembangunan masyarakat di negeri kita.

 

 

“Serentak itu, Kerajaan Negeri juga telah menrealisasikan penubuhan Penang Islamic Digital Library (PIDL) dan Al-Hadi Centre sebagai platform bagi menyalurkan ilmu dalam pelbagai bidang terutamanya sains Islam kepada seluruh masyarakat di sini,” ujarnya pada Majlis Pembukaan Konvensyen Central Muslim Society 1.0 dekat Universiti Sains Malaysia (USM) di sini tengah hari tadi.

 

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng; Pengarah Persuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang, Rosli Md. Noor dan Pengerusi CMS, Mohd. Hassan  Othuman.

 

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM3.096 juta melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) bagi pelaksanaan projek pembinaan semula sekolah Agama Rakyat (SAR) Bertam Putra dekat Kepala Batas sebagai komitmen dalam menambah baik institusi pendidikan Islam di negeri ini.

 

 

“Malah, peruntukan bagi pembangunan Syiar Islam di negeri Pulau Pinang turut meningkat kepada RM71.13 juta bagi tahun 2022 di samping RM350,000 turut diperuntukan bagi menjayakan program Gagasan Khaira Ummah 2030 iaitu agenda yang dirangka untuk menyediakan generasi masa depan umat Islam Pulau Pinang dalam tempoh sedekad sehingga tahun 2030 selari dengan agenda Visi Penang2030.

 

 

“Tidak terhenti di situ sahaja, setelah saya mengikut sendiri perkembangan Community Digital Academy (CDA) dan pencapaiannya dalam projek STEM (Sains, Matematik, kejuruteraaan dan teknologi) di peringkat komuniti, Kerajaan Negeri memutuskan untuk terus memberikan dorongan serta sokongan kepada CMS-CDA.

 

 

“Justeru, saya telah meluluskan peruntukan berjumlah RM40,000 untuk mewujudkan Resource Centre CDA di premis milik persatuan berkaitan,” katanya lanjut.

 

 

Mengenai permintaan CMS untuk menukar nama beberapa batang jalan di George Town, Kon Yeow memaklumkan bahawa perkara tersebut perlu diperhalusi oleh pihak berkepentingan berikutan kawasan terlibat adalah berstatus warisan UNESCO.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN

Video : DARWINA MOHD. DAUD