MBPP akan memperluas pelaksanaan had parkir dua jam – Exco

Admin
JASON H’ng Mooi Lye

GEORGE TOWN – Syor sistem parkir terhad kepada dua jam (1P + 1P) yang sedang di peringkat kajian oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan diperluaskan ke semua kawasan tumpuan di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Mengulas lanjut, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata konsep ‘1P+1P’ tersebut telah diwartakan di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (Tempat Letak Kereta) (Pindaan) MBPP 2017.

“Bagaimanapun, perkara ini perlu diperhalusi dengan mengambil kira waktu kawalan yang diwartakan di bawah perintah lalu lintas (Tempat Letak Kereta berkupon) iaitu bermula dari jam 8 pagi sehingga 6 petang setiap hari kecuali hari Ahad dan cuti umum,” jelasnya semasa Sesi Penggulungan Exco sempena Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 23 November 2023.

Beliau memberi penjelasan isu sebagai respons kepada ADUN Komtar, Teh Lai Heng yang berpendapat bahawa cadangan mengehadkan tempoh masa parkir dua jam di kawasan sibuk sekitar George Town akan memberi peluang kepada pihak lain untuk menggunakan tempat letak kereta MBPP.

Selain itu, Mooi Lye memberitahu bahawa MBPP telah mewartakan larangan aktiviti punggah-memunggah di kawasan George Town pada jam 7.00 pagi hingga 9.00 pagi dan 4.30 petang hingga 7.00 malam pada setiap hari kecuali Ahad dan cuti umum.

“Pada ketika ini, pihak MBPP tidak bercadang untuk memberi kebenaran meletakkan kenderaan di kawasan punggah-memunggah di luar waktu perniagaan kerana dikhuatiri akan menimbulkan masalah lain kepada peniaga.

“Misalnya peletakan kenderaan yang melebihi masa sehingga mengganggu urusan perniagaan,” jelasnya yang juga ADUN Jawi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN