GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bertindak mengambil alih perkhidmatan kutipan sampah di dua zon bermasalah yang sebelum ini dikendalikan oleh kontraktor baharu.
Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran berkata bahawa dua zon terlibat adalah membabitkan Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seri Delima, Air Itam, Batu Uban dan Pantai Jerejak.
“Terdapat tiga kawasan yang dilaporkan menghadapi masalah kutipan sampah iaitu Paya Terubong, Seri Delima, Air Itam, Batu Uban dan Pantai Jerejak yang dikendalikan oleh kontraktor baharu.
“Oleh itu, MBPP telah mengambil alih dua zon terlibat yang membabitkan Seri Delima, Air Itam, Batu Uban dan Pantai Jerejak manakala zon Paya Terubong masih dikendalikan oleh kontraktor baharu yang telah dilantik.
“Di bahagian pulau, terdapat sembilan zon keseluruhannya yang mana lima zon dikendalikan oleh kontraktor lama, tiga zon oleh kontraktor baru manakala satu lagi zon iaitu Balik Pulau dikendalikan sendiri oleh MBPP,” katanya pada sidang media sempena lawatan ke kawasan pembuangan sampah di Lebuh Carnarvon di sini sebentar tadi.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo serta beberapa Ahli Majlis bagi MBPP turut hadir pada sidang media tersebut.
Pada masa sama kata Rajendran, MBPP juga bertindak menambah tiga unit jentera pemampat baharu di samping 10 unit jentera sedia ada yang diperoleh sejak 1 Januari tahun ini bagi menambah baik perkhidmatan pungutan sampah.
“Sebagai perkhidmatan sokongan, setiap hari MBPP sahaja telah mengutip sebanyak 100 tan sampah di dua zon yang kita telah ambil alih ini.
“(Dan) sejak memperoleh jentera baharu, kita telah menambah baik operasi kutipan sampah di ketiga-tiga zon yang dikendalikan MBPP terutamanya di dua zon yang kita telah ambil alih.
“Justeru, kita berharap agar perkhidmatan kutipan sampah akan bertambah baik dan terus menjadi rutin dalam beberapa hari lagi,” katanya.
Sebelum itu, Jagdeep memaklumkan bahawa masalah pengurusan sampah di tiga zon terlibat adalah berpunca daripada proses peralihan pelantikan kontraktor baharu.
“Kita dalam proses pelantikan kontraktor baharu, jadi ada beberapa isu berkenaan pungutan sampah yang perlu diselesaikan segera kerana aspek kebersihan adalah sesuatu yang kita tidak akan berkompromi.
“Oleh itu, saya minta Ahli Majlis dan MBPP supaya menyelesaikan masalah ini secepat mungkin kerana perkhidmatan kutipan sampah adalah kemudahan asas yang perlu disalurkan kepada rakyat,” tegasnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD