PANTAI JEREJAK – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) terus mempromosikan inisiatif hijau dan lestari apabila melancarkan penggunaan skuter elektrik sempena penganjuran Asia Pasific Urban Forum 7 (APUF7) yang akan berlangsung dekat Setia SPICE Konvensyen Centre dari 15 hingga 17 Oktober ini.
Inisiatif terbaharu tersebut adalah hasil kerjasama Majlis dengan syarikat Anywheel yang juga merupakan rakan kongsi mobiliti penganjuran APUF 7.
Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, sebanyak 150 skuter elektrik akan disediakan kepada para delegasi forum berkenaan yang boleh digunakan di sekitar kawasan pusat konvensyen berkenaan sepanjang penganjuran.
“Buat waktu ini, skuter elektrik ini hanya akan digunakan di sekitar kawasan pusat SPICE sahaja ketika penganjuran berkaitan.
“Tetapi dalam masa sama, kita (MBPP) sedang mengenal pasti jaringan laluan sambungan kepada pengguna skuter ini iaitu laluan yang lebih mesra.
“Ia juga adalah projek perintis untuk Majlis melihat dan menilai adakah sesuai ataupun tidak jika ia diperkenalkan untuk digunakan di bandar raya ini,” ujarnya sambil memaklumkan bahawa pelancaran penggunaan skuter elektrik tersebut ketika penganjuran APUF 7 tidak membabitkan sebarang kos kepada pihak MBPP.
Majlis pelancaran berkenaan yang disempurnakan Tung Seang berlangsung dekat perkarangan SPICE Arena, di sini sebentar tadi.
Hadir sama Ahli-ahli Majlis MBPP dan Head of Expansion & Partnerships Anywheel, Johan Sammy.
Difahamkan, penggunaan skuter elektrik tersebut boleh bertahan di antara tiga hingga empat jam dan mampu untuk bergerak sehingga 45 kilometer (KM) dalam tempoh tersebut.
Sementara itu, Johan memberitahu bahawa perkhidmatan skuter berkenaan adalah percuma kepada delegasi APUF 7 dan pengguna yang memuat naik aplikasi Anywheel di telefon pintar masing-masing.
“Pengguna boleh memuat naik apps e.bike anywheel melalui Google Play Store atau Apple App Store.
“Sebagai projek perintis, kawasan sekitar Bayan Baru akan dilengkapi dengan beberapa stesen skuter elektrik ini, pengguna boleh mengenal pasti stesen melalui applikasi yang sama,”ujarnya.