MBPP bakal beri insentif khas kesihatan, bantu ringankan beban kakitangan

Admin
aio 4212

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bakal memberi insentif khas kesihatan sebanyak RM100 setiap bulan kepada kakitangannya mulai tahun ini.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran berkata, insentif tersebut bertujuan meringankan beban kakitangan untuk mendapatkan ubat-ubatan atau suplemen untuk diri sendiri dan ahli keluarga.

“Sekali gus ia dapat meningkatkan kualiti kesihatan diri dan keluarga semua kakitangan,’ katanya.

aio 4183
DATO’ Ir. A. Rajendran.

Beliau yang ditemui selepas hadir menyempurnakan Majlis Penghargaan Pesara dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 dekat sini memberitahu bahawa MBPP juga mengambil langkah untuk mengurangkan kadar sewa bagi kuarters dan skim perumahan yang disewa oleh kakitangannya.

“Melalui pemotongan kadar sewa antara 20 hingga 40 peratus melibatkan kira-kira 120 kakitangan akan turut membantu mereka yang menyewa di kuarters dan skim perumahan berdekatan Jalan Sungai Dua, Jalan Irrawaddi dan Jalan Dr. Wu Lien Tek,” katanya lagi.

aio 4206

aio 4203
MOMEN penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 semasa majlis sebentar tadi.

Terdahulu, Rajendran hadir meraikan 85 pesara dan 246 kakitangan yang telah menabur bakti dan berkhidmat dengan pihak berkuasa tempatan berkenaan.

Semasa berucap, Rajendran menyatakan bahawa penganjuran majlis ini adalah sebagai manifestasi pengiktirafan dan penghargaan kepada mereka yang telah dipilih kerana berkhidmat dengan cemerlang.

“Syabas diucapkan kepada semua penerima APC, diharapkan semua penerima dapat mengekalkan momentum kecemerlangan dan komitmen yang telah ditunjukkan selama ini serta terus mendukung usaha kerajaan ke arah kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.

“Tidak ketinggalan juga kepada barisan pesara di atas dedikasi, kesetiaan dan usaha tanpa henti yang telah diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan dalam menjadikan bandar kita sebagai tempat yang lebih baik untuk semua penduduknya,” ujarnya semasa sesi ucaptama majlis berkenaan.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya MBPP, Sr. Cheong Chee Hong; barisan Ahli-ahli Majlis MBPP serta ketua-ketua jabatan.

aio 4175

aio 4171
SEKITAR Majlis Penghargaan Pesara dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023.

Difahamkan, penerima APC menerima sijil penghargaan serta wang ganjaran sebanyak RM1,000 manakala bagi pesara pula menerima hadiah berupa sijil penghargaan dan wang tunai sebanyak RM600.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR