GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada syarikat yang mengendali projek perintis sistem tempat letak kereta secara pintar, Penang Smart Parking (PSP).
Dalam reaksi ringkas, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang turut mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung notis tunjuk sebab kepada syarikat pengendali PSP berkenaan.
“Kita pun telah mengumumkan tempoh projek perintis ini.
“Kalau ada banyak masalah, bukan suatu perkara yang tidak baik, kalau ada masalah ada tempoh yang sesuai untuk diperbaiki.
Kalau tiada masalah, elok lah. Kalau ada (masalah) seperti kita jangkakan, kalau ada, maka tindakan-tindakan yang sesuai perlu diambil,” responsnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi pada sidang media di Komtar dekat sini pada 20 Ogos 2019.
Kon Yeow berkata demikian selepas mengumumkan lokasi-lokasi pemeriksaan awam bagi Skim Keretapi Projek Cadangan Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman serta beberapa Exco Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Negeri Pulau Pinang turut sertai sidang media itu.
Terdahulu, syarikat berkenaan dipilih untuk melaksanakan pemasangan sensor di 647 petak parkir dekat bahagian pulau, sementara di Seberang Perai (350).
Fasa satu projek itu sepatutnya dijangka siap pada akhir bulan Ogos ini.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS