MBPP buka permohonan gerai mulai hari ini

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)  membuka pendaftaran bagi permohonan penyewaan gerai Majlis bermula 17 November ini sehingga 27 November (Isnin) 2023.

 

 

 

Ahli Majlis MBPP, Tan Soo Siang berkata mereka yang tidak mendaftar pada tarikh yang ditetapkan tidak layak untuk proses temuduga pada 30 November ini.

 

 

 

“Temuduga pada kali ini masih sama akan dijalankan secara dalam talian, oleh itu setiap individu mesti mengemukakan e-mel dan nombor telefon yang tepat untuk Majlis menghantar pautan aplikasi Zoom.

 

 

 

“Permohon mesti memastikan talian internet dalam keadaan baik, lokasi yang bersesuaian, tepati waktu, bersabar dan paling penting mestilah berpakaian sopan dan kemas.

 

 

 

“Hal ini kerana sebelum ini ada permohon yang tidak berbaju ketika dihubungi untuk sesi temuduga, maka kami akan putuskan talian sekiranya terdapat pemohon melakukan perkara yang sama.

 

 

“Selain itu, pemohon juga perlu memastikan mereka bukan dalam situasi memandu kenderaan ketika ditemuduga,” ujar Soo Siang dalam satu sidang media dekat Dewan Bandaraya dekat Padang Kota di sini, semalam.

 

 

 

Hadir sama, Ahli Majlis bagi MBPP Bakar Noordin; Chan Soon Aun; Mohd. Roshidi Roslan dan Rohaizat Hamid.

 

 

Mengulas lanjut, Soo Siang memaklumkan bahawa sebanyak 155 kekosongan gerai perlu diisi melibatkan 28 lokasi.

 

 

 

“Persoalan yang sering timbul adalah ada gerai di sekian-sekian kawasan yang masih terdapat kosong tetapi kenapa tiada permohonan untuk gerai tersebut.

 

 

 

“Lazimnya kalau gerai masih kosong mungkin ada beberapa perkara yang sedang diselesaikan seperti dalam proses pembatalan, proses rayuan atau cuti sakit dan akan dikemaskini pada permohonan berikutnya,” kata Soo Siang lagi.

 

 

 

Difahamkan, permohonan boleh dibuat di laman web MBPP dan sebarang masalah berkaitan permohonan boleh menghubungi Jabatan Pelesenan di talian 01-263 8818 sambungan 307/308/309/310.

 

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SIEW CHIA EN