GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) membuka permohonan untuk pengisian gerai pasar kompleks dan tapak penjaja milik pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan mulai 2 (hari ini) hingga 12 November 2021.
Ahli Majlis bagi MBPP, Nicholas Theng Jie Wei memberitahu bahawa permohonan tersebut hendaklah dilakukan secara dalam talian melalui pautan http://elesen.mbpp.gov.my.
Beliau berkata, sebanyak 69 kekosongan gerai dari 12 lokasi ditawarkan kali ini membabitkan pasar kompleks dan tapak penjaja di seluruh bahagian pulau.
“Senarai akan dimuat naik di laman Facebook Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan kita di pihak Majlis cuba sedaya upaya untuk memudahkan permohonan kali ini.
“Namun begitu, bagi permohonan yang tidak berdaftar dalam tempoh yang ditetapkan tidak layak bagi sesi temuduga,” tegasnya pada sidang media yang diadakan secara telesidang sebentar tadi.
Sebarang pertanyaan lanjut dan bantuan pendaftaran boleh hubungi Bahagian Pelesenan MBPP di talian, 04-2633 8818.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN