MBPP disaran laksana polisi kutip semula minyak masak terpakai, kata Ahli Majlis

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) disarankan supaya melaksanakan polisi pengutipan semula minyak masak terpakai daripada kalangan pengusaha dan komuniti.

Mengambil contoh program Kitar Semula Minyak Masak Terpakai (KISMAT) yang dilaksanakan di Selangor, Ahli Majlis bagi MBPP, Wong Yuee Harng berkata program tersebut mampu mengatasi masalah komuniti yang tertimbul akibat sisa minyak terpakai.

“Saya faham bahawa pihak Majlis telah menggunakan formula campuran air dan racun serangga bagi mengurangkan pengunaan diesel dan usaha ini memang wajar patut dipuji.

“Walau bagaimanapun, objektif utama KISMAT ini adalah untuk mengutip dan mengurangkan minyak masak terpakai dituangkan merata tempat yang membawa kesan negatif kepada alam sekitar.

“Justeru, saya menyeru MBPP melaksanakan polisi pengutipan balik minyak masak terpakai daripada kalangan pengusaha dan komuniti demi agenda penghijauan, pembersihan dan pemeliharaan alam sekitar dalam masa terdekat,” katanya dalam ucapan penangguhan Mesyuarat Majlis Biasa MBPP di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Yuee Harng berkata KISMAT sebagaimana yang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Sepang merupakan program berkaitan kitar semula khusus kepada minyak masak terpakai bagi menjaga kebersihan persekitaran serta memelihara alam sekitar.

“Program ini membawa beberapa impak positif termasuk menggalakkan aktiviti kitar semula, mengelakkan pencemaran air serta kacau ganggu akibat serangan haiwan pembawa penyakit seperti lipas, tikus, lalat di sekitar kawasan perumahan dan premis jualan makanan.

“Selain itu, ia juga memberi nilai tambah kepada minyak masak terpakai, iaitu menjadikan minyak masak terpakai ini sebagai bahan kitar semula yang bernilai dan mesra alam yang dikenali sebagai Aedes Biobased Fuel (ABBF).

“Dan ini pula akan menjana pendapatan kepada komuniti di sebaliknya.

“Saya yakin terdapatnya sektor swasta yang bersiap sedia dan sudi melibatkan diri dalam melancarkan projek yang merupakan “game changer” ini,” jelasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar “ Ahli Majlis MBPP